Saturday 7 December 2013

SOALAN & JAWAPAN BERKAITAN SOLAT JAMA’ MUSIM BANJIR

Oleh : Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman

SOALAN 

Asalamualaikum ustaz, sahabat saya mintak tolong tanya pada ustaz.. Kes dia mcm ni, kalau badan perempuan tu kotor kena lumpur banjir lepas tu tempat solat pun kotor kira darurat ke? Boleh buat jamak ke? Kes lagi satu, kalau baju kotor kena lumpur. Bnjir lepas tu ada tempat solat tapi kalau nak ambik wuduk terpaksa ambik depan lelaki macam mana tu? Mintak ustaz tolong jelaskan..syukran jazakallah "mntk maaf ggu *_*

JAWAPAN

Wa’alaikumussalam, 

Ulama mengharuskan jama’ solat Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak disebabkan oleh keuzuran dan kesukaran tertentu yang munasabah. Ulama mazhab Maliki mengharuskan jama’ bagi mereka yang tidak bermusafir disebabkan hujan, tanah terlalu berlumpur untuk ke masjid (termasuk banjir) dan juga disebabkan sakit. (Al-Muqaddimat wa Mumahhidat, 1/185)

Ulama mazhab Syafie mengharuskan jama’ solat disebabkan hujan yang boleh membasahkan semua pakaian, dan sebahagian ulama Syafie turut mengharuskan atas sebab sakit, tanah dan ketakutan atas keselamatan ( biasanya merujuk kepada perjalanan ke masjid atau pertahanan diri seperti tentera dan lainnya). (Al-Umm, Al-Syafi’e, 1/76 ; Kifayatul Akhyar, 1/337)

Ulama mazhab Hanbali turut mengharuskan disebabkan salji, kesejukan angin kencang dan, wanita yang istihadah dan sepertinya. Mazhab Hanbali adalah yang paling luas keharusan untuk jama’ ini. Mereka berdalil kepada hadis riwayat Muslim yang sohih dari Ibn Abbas 
عن ابن عباس أن رسول الله جمع بين الظهر والعصر، والمغرب والعشاء بالمدينة في غير خوف ولا مطر. قيل لابن عباس : ما أراد إلى ذلك ؟ قال : أراد أن لا يحرج أمته
Ertinya: Rasululllah telah menjama’kan solat Zohor dan Asar, Maghrib dan Isyak di Madinah tanpa jelas ketika itu wujud sebarang suasana ketakutan atau hujan. Ditanya kepda Ibn Abbas apakah tujuan baginda ? Maka dijawab : Baginda mahu agar tidak menyukarkan ummatnya.

Kesatuan ulama Fiqh sedunia telah membincangkan hadis ini dan meletakkan syarat kesukaran, keuzuran, sakit dan yang sepertinya bagi sesiapa yang ingin beramal dengan jama’ solat sebagaimana dalam hadis tadi. Tanpa sebarang keuzuran dan suasana yang munasabah, jama’ TIDAK DIBENARKAN.

KESIMPULAN

Sheikh Dr Yusuf al-Qaradawi ( Fatawa Mu’asiroh) mengharuskan jama’ dalam keadaan uzur dan kesukaran, ini terpakai dalam suasana banjir dan keadaan sukar di tempat pemindahan banjir dan rumah masing-masing, BUKAN SAHAJA DI MASJID, ( rujuk al-Umm, 1/76) khususnya dalam keadaan banjir belum surut, hujan pula masih turun, pakaian dan peralatan serba kurang. Air bersih terlalu terhad. Hukumnya adalah HARUS dan DIBOLEHKAN untuk menjama'kan solat Zohor dan Asar, serta Maghrib dan Isyak dengan sekali wudhu’, pastinya sukar untuk menjaga wudhu dan sukar untuk berwudhu berulang kali dalam keadaan kekurangan air bersih yang meyakinkan.

Namun para ulama bersepakat jika solat jama’ tanpa keuzuran sebenar dan menyalahgunakan keringanan ini, solat adalah batal dan tidak sah. 

Manakala soalan, berkaitan campur lelaki wanita di tempat wudhu’, wudhu masih mesti diambil. Bagi membolehkan ia diambil oleh wanita saya mencadangkan beberapa perkara iaitu :
1) Cakap elok-elok pada kaum lelaki agar pergi mengosongkan tempat terbabit sebelum berwudhu’. 
2) Minta ketua atau pegawai beri kerjasama untuk wanita berwudhu’. 
3) Meminta saudara mara ambil kain cadar atau yang sesuai bagi dibuat penghadang semasa ahli keluarga wanita masing-masing ingin mengambil wudhu.

Sekian, semoga dapat beramal dalam apa jua keadaan.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Web : www.zaharuddin.net
facebook: Zaharuddin Abd Rahman

Prihal orang-orang Mukmin dan orang munaafiq

Tafsir Surah al-Hadid: ayat 12-14:

Ayat 12:
يَوْمَ تَرَى الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ يَسْعَى نُورُهُم بَيْنَ أَيْدِيهِمْ وَبِأَيْمَانِهِم بُشْرَاكُمُ الْيَوْمَ جَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا ذَلِكَ هُوَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Ertinya: "Pada hari engkau akan melihat orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, betapa cahaya mereka bersinar di depan dan di samping mereka, (dikatakan kepada mereka), "Pada hari ini ada berita gembira untukmu, (iaitu) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Demikian itulah kemenangan yang agung".

Ayat 13: 

يَوْمَ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالْمُنَافِقَاتُ لِلَّذِينَ آمَنُوا انظُرُونَا نَقْتَبِسْ مِن نُّورِكُمْ قِيلَ ارْجِعُوا وَرَاءكُمْ فَالْتَمِسُوا نُورًا فَضُرِبَ بَيْنَهُم بِسُورٍ لَّهُ بَابٌ بَاطِنُهُ فِيهِ الرَّحْمَةُ وَظَاهِرُهُ مِن قِبَلِهِ الْعَذَابُ
Erinya: "Pada hari orang-orang munaafiq lelaki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman, "Tunggulah kami! kami ingin mengambil cahaymu". (kepada mereka) dikatakan, "Kembalilah kamu kebelakang dan carilah sendiri cahaya (untukmu)". Lalu di antara mereka dipasang dinding (pemisah) yang berpintu. Di sebelah dalam ada rahmat dan di luarnya hanya ada azab".

Ayat 14:

يُنَادُونَهُمْ أَلَمْ نَكُن مَّعَكُمْ قَالُوا بَلَى وَلَكِنَّكُمْ فَتَنتُمْ أَنفُسَكُمْ وَتَرَبَّصْتُمْ وَارْتَبْتُمْ وَغَرَّتْكُمُ الأَمَانِيُّ حَتَّى جَاءَ أَمْرُ اللَّهِ وَغَرَّكُم بِاللَّهِ الْغَرُورُ
Ertinya: "Orang-orang munaafiq memanggil orang-orang mukmin, "Bukankah kami dahulu bersama kamu?", mereka (orang mukmin) menjawab, "Benar, tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri, dan kamu hanya menunggu, meragukan (janji Allah) dan ditipu oleh angan-angan kosong sampai datang ketetapan Allah; dan penipu (syaitan) datang memperdayakan kamu tentang Allah".

Dalam ayat-ayat ini Allah menceritakan perihal orang-orang beriman dengan orang munafik. 

Di akhirat nanti, bagi orang lelaki dan perempuan yang beriman itu akan ada cahaya yang bergerak cepat di hadapan dan di sebelah kanan mereka. Dikatakan oleh para mufassirin, di akhirat nanti keadaan adalah sangat gelap. Kemudian Allah akan memberikan cahaya kepada orang-orang mukmin. Dan cahaya ini akan memandu mereka menuju Allah.

Dikatakan juga cahaya yang disebut dalam ayat ini merujuk kepada cahaya ketika hendak meniti al-sirath. Menurut Ibn Mas'ud setiap orang yang beriman akan diberikan cahaya berdasarkan iman mereka; ada yang mendapat cahaya sebesar gunung, ada sebesar pohon kurma, ada sebesar lelaki yang berdiri dan ada yang sebesar ibu jari.

Dalam ayat 13 pula diceritakan tentang perihal orang-orang munafik yang sedang meraba-raba dalam gelap, mereka merayu kepada orang-orang mukmin supaya menunggu mereka supaya mereka mendapat sedikit bahagian daripada cahaya tersebut. Kemudian orang mukmin akan berkata kepada mereka, pergilah kembali ke belakang (tempat di mana cahaya dibahagi-bahagikan) dan carilah di sana. Kemudian akan diadakan bagi orang-orang munafik itu satu tembok yang mempunyai pintu, di sebelah dalamnya ada rahmat (syurga dan nikmatnya) dan di sebelah luarnya ada azab iaitu neraka. Tembok ini adalah tembok pemisah antara syurga dan neraka. Ketika orang-orang mukmin telah berjalan masuk ke dalam syurga maka pintunya akan tertutup, lalu tertinggallah orang-orang munafik dalam gelap dan azab.

Manakala ayat 14, terkandung ciri-ciri munafik. Orang-orang munafik setelah tertahan di luar, mereka nenyeru orang beriman, bukankah kami bersama-sama kamu melaksanakan syariat islam?

Org mukmin berkata, benar, tetapi;

1- kamu telah membinasakan diri kamu dan bergelumang dalam nifaq, maksiat, kehendak jiwa dan keseronokan dunia

2- kamu menunggu-menunggu kehancuran Nabi sallahu 'alaihi wasallam dan orang-orang muslim

3- kamu ragu-ragu terhadap hari kebangkitan

4- kamu leka dengan cita-cita dan impian

5- kamu diperdaya oleh syaitan dengan beranggapan bahawa Allah akan mengampunkan kamu sedang kamu tidak bersungguh-sungguh melakukan amal soleh.

Ini antara ciri-ciri org munafiq. Sangat takut jika kita ada ciri-ciri ini, bagaimana untuk mengetahui jika kita termasuk ke dalam golongan ini atau tidak?

Sedangkan Saidina Umar radhiyallahu 'anh pun takut akan adanya sifat nifaq ni pada dirinya, apatah lagi kita, lebih berpotensi untuk ada dan lebih sepatutnya takut .. الله المستعان

Semoga Allah pelihara kita semua dari terjebak dengan sifat-sifat di atas..


Sumber: Kuliah group; Ustazah Ili Dalila (بارك الله في حياتك)