Sunday, 7 January 2018

Rasulullah & Mengenali Sahabat

Oleh: al-fadhil Dr. Ahmad Sanusi
1. Dalam interaksi Rasulullah bersama sahabat, kita dapati bahawa Rasulullah adalah seorang yang cakna tentang kehidupan harian sahabat Baginda. Dalam sebuah hadith yang masyhur, Rasulullah melihat Abu Umayr kelihatan sedih. Baginda lantas bertanya tentang burung peliharaan Abu Umayr. Menurut Anas, Abu Umayr memiliki burung dan sering bermain dengan binatang peliharaannya itu. Melihatkan kesedihan Abu Umayr, Nabi bertanya akan perkara itu kerana Baginda memahami perihal sahabat Baginda. Benarlah telahan Nabi bahawa burung peliharan Abu Umayr telah mati sehingga menyebabkn beliau bersedih. Lihat caknanya Nabi tentang sahabat Baginda. 
يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
2. Ketika pulang dari satu peperangan, Rasulullah mendapati Jabir bin Abdullah berada di barisan paling belakang dalam kumpulan permusafiran tersebut. Rasulullah lantas mendekati Jabir dan bertanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau lambat wahai Jabir”? Jabir lalu menjawab bahawa untanya telah penat dan sakit sehingga menyebabkan pergerakkannya menjadi lambat. Rasulullah sendiri turun dari tunggangannya dan menggerakkan unta Jabir tersebut. Lihatlah peri pekerti Nabi yang mengambil tahu perihal sahabat, bahkan turun membantu mereka.
قَالَ: «مَا شَأْنُكَ؟» قُلْتُ: أَبْطَأَ عَلَيَّ جَمَلِي وَأَعْيَا، فَتَخَلَّفْتُ، فَنَزَلَ يَحْجُنُهُ بِمِحْجَنِهِ
3. Ketika mereka berdua berjalan, Rasulullah mengambil kesempatan ini bertanya tentang kehidupan Jabir. Baginda bertanya apakah engkau telah berkahwin wahai Jabir? Jabir menjawab: Sudah. Rasulullah bertanya lagi: Apakah kamu berkahwin dengan anak dara atau janda? Jabir menjawab: Janda. Rasulullah bertanya mengapa tidak engkau berkahwin dengan anak dara? Jabir menjawab bahawa ayahnya Abdullah telah syahid dan beliau mempunyai adik-adik perempuan yg ramai. Jabir berharap agar isterinya boleh membantu beliau membantu menguruskan adik-adik beliau sekali.
قُلْتُ: إِنَّ لِي أَخَوَاتٍ، فَأَحْبَبْتُ أَنْ أَتَزَوَّجَ امْرَأَةً تَجْمَعُهُنَّ، وَتَمْشُطُهُنَّ، وَتَقُومُ عَلَيْهِنَّ
4. Di akhir hadith yang panjang ini, Rasulullah menawarkan dirinya untuk membeli unta Jabir tersebut. Apabila Jabir membawa untanya untuk diserahkan kepada Nabi, Rasulullah membayar harga unta itu kepada Jabir, malah menyerahkan kembali unta tersebut kepada Jabir. Tindakan Baginda ini adalah tidak lain tidak bukan bagi membantu Jabir yang kelihatan baru mendirikan rumah tangga dan lebih memerlukan sokong dalam memulakan kehidupannya (al-Qastalani, Irshad al-Sari, 1323H). Perbuatan Baginda ini menggambarkan bahawa Baginda bukan sahaja ambil tahu tentang kehidupan sahabat Baginda, bahkan Baginda membantu mereka dalam kehidupan harian mereka. 
قَالَ: خُذْ جَمَلَكَ وَلَكَ ثَمَنُهُ
5. Dalam sebuah hadith yang lain pula Malik ibn al-Huwayrith dikatakan telah datang ke Madinah untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam bersama dengan Nabi. Apabila berada dalam tempoh yang lama bersama dengan Nabi, Rasulullah seakan perasan yang Malik sudah merindui keluarganya di kampung. Rasulullah lalu mengarahkan Malik supaya pulang dan mendidik kaumnya tentang Islam. Malik lalu berkata: Rasulullah adalah seorang yang penyayang. Baginda seolah memahami kehendak kami. Begitulah tingginya peribadi Nabi dalam mengambil berat, memahami serta membantu para sahabatnya.
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- رَحِيمًا رَفِيقًا، فَظَنَّ أَنَّا قَدِ اشْتَقْنَا أَهْلَنَا، فَسَأَلَنَا عَمَّنْ تَرَكْنَا مِنْ أَهْلِنَا، فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ :« ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ

*3 Perkara Yang Paling Mulia Tetapi Sangat Sukar Dimiliki*

Oleh: Ustaz Mohd Masri bin Mohd Ramli

Imam al-Syafie berkata:
.
أَعَزُّ الْأَشْيَاءِ ثَلَاثَةٌ: 
Perkara yang paling mulia ada tiga perkara:
.
الْجُودُ مِنْ قِلَّةٍ،
[1] Sifat pemurah ketika kekurangan harta.
.
وَالْوَرَعُ فِي خَلْوَةٍ،
[2] Warak ketika bersendirian.
.
وَكَلِمَةُ الْحَقِّ عِنْدَ مَنْ يُرْجَى أَوْ يُخَافُ
[3] bercakap perkara yang benar kepada orang yang diharapkan serta ditakuti.
[Dinukilkan oleh Imam Ibnu Rajab dalam Jami' al-'Ulum wa al-Hikam].

BERISTIGHFARLAH…

Oleh: Al-Fadhil Al-Ustaz Kamilin Jamilin
1. Isitighfar merupakan kalimah memohon “maghfirah” dari Allah, yang berasal dari “غفر”, yang bermaksud melindungi atau menutupi. 
Justeru perisai kepala dalam bahasa arab disebut sebagai “mighfar” (المِغْفَرْ) kerana ia melindungi serta menutupi bahagian utama tubuh. 
Maka istighfar digunakan sebagai lafaz permohonan kepada Allah supaya ditutupi dosa-dosa yang dilakukan melalui pengampunan-Nya serta tidak ditayangkan di akhirat kelak.
2. Bagaimana cara beristighfar?

Di dalam Quran Allah menyebut beberapa lafaz istighfar sebagai mereka yang memohon pengampunannya, antaranya:
a) “ASTAGHFIRULLAH (أَسْتَغْفِرُ الله)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada Allah”.
Firman Allah:
“وَاسْتَغْفِرُوا الله” [al-Baqarah: 199].
“فَاسْتَغْفَرُوا الله” [al-Nisa: 64].
“وَاسْتَغْفِرِ الله” [al-Baqarah: 106].
b) “ASTAGHFIRU RABBI (أَسْتَغْفِرُ رَبِّي)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada tuhanku”.
Firman Allah:
“أَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُم” [Hud: 3].
“اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُم” [Hud: 52, 90, Nuh: 10].
“وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُم” [al-Kahfi: 55].
c) “GHUFRANAK (غُفْرَانَك)”, yang bermaksud: “Pengampunan-Mu (wahai Allah)”.
Firman Allah:
“غُفۡرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيۡكَ ٱلۡمَصِيرُ” [al-Baqarah: 285].
d) “IGHFIR (اِغْفِرْ)”, yang bermaksud: “Ampunkanlah (daku)”.
Firman Allah:
“وَقُل رَّبِّ ٱغۡفِرۡ وَٱرۡحَمۡ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلرَّٲحِمِينَ” [al-Mu’kminun: 118].
Di dalam hadis pula, Nabi SAW mengajarkan kita beberapa lafaz istighfar, antaranya:
a) Penghulu segala istighfar. Hadis Syaddad bin Aws RA riwayat al-Bukhariy:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ ، لَا إِلٰـهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ
Mafhumnya: “Ya Allâh, Engkau adalah Rabbku, tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku, kerana tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau”.

Sabda baginda: “Barangsiapa yang mengucapkannya di waktu siang dengan penuh keyakinan, lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka ia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa yang membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk penghuni syurga”.
b) “ASTAGHFIRULLAH (أَسْتَغْفِرُ الله)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada Allah”.
Dalam riwayat al-Bukhariy disebutkan Nabi SAW beristighfar kepada Allah sebanyak 70 kali, manakala dalam riwayat Muslim pula sebanyak 100 kali sehari.
c) “ASTAGHFIRUKA WA ATUBU ILAYK (أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu”.
Dalam hadis riwayat Muslim, ‘Aisyah RA mengkhabarkan bahawa Nabi SAW sebelum wafat baginda beberapa ketika, banyak mengucapkan lafaz doa istighfar ini.
Setiap kita pasti melakukan kesilapan atau kesalahan baik kita sedari mahupun tidak, baik yang disengajakan mahupun tidak...

Maka beristighfarlah pada ruang masa yang mampu selagi mampu..

ABANG PUN NAK TEGUR...

Oleh: Al-Fadhil Al-Ustaz Kamilin Jamilin

1. Saya mendapati kebelakangan ini semakin ramai golongan transgender khususnya lelaki berketerampilan wanita (مُخَنَّث) yang berani menonjolkan diri mereka secara berleluasa di khalayak ramai, bahkan tidak segan-silu menampilkan “boyfriend” mereka atau penampilan “keperempuanan” mereka.
Melalui medium dunia selebriti dan media sosial, mereka begitu mudah dikenali oleh masyarakat dan tidak kurang yang menerima dan menyokong perilaku tersebut dengan alasan “human-right”.
2. Saya bukannya ingin memandang serong atau mendiskriminasikan golongan ini, bahkan saya menyokong penuh usaha Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mendekati mereka dan berusaha “merawati” mereka dengan usaha menghampirkan mereka kepada agama.
Ramai dari kalangan mereka yang sangat baik hati dan sikapnya, bahkan begitu mudah didekati. Cuma Allah menguji mereka dengan konflik dalaman yang memerlukan bantuan dan terapi berpanjangan.
3. Sangat menyedihkan apabila ada dari mereka yang berusaha untuk berubah secara berperingkat, lalu mereka dicemuh oleh segelintir makhluk yang inginkan kesempurnaan sehingga menyebabkan mereka kembali ke perilaku asal.
Perlu diingat mereka juga insan yang menghidap kecamuk perasaan dan perlukan kepada bimbingan berhikmah agar kembali kepada fitrah.
4. Namun ini tidak bermakna perilaku transgender ini perlu diterima oleh masyarakat, kerana ia jelas bertentangan dengan syariat. 

Dalam hadis Ibn Abbas RA: 

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ

“Nabi SAW melaknat golongan lelaki yang menyerupai wanita dan golongan wanita yang menyerupai lelaki” [riwayat al-Bukhariy].
5. Yang membimbangkan ialah apabila perilaku ini semakin diambil remeh oleh masyarakat Islam yang seakan menyokong maksiat ini dizahirkan, sehingga kini mereka tidak lagi berasa kekok dan bersalah ditonjolkan dalam klip-klip video hiburan yang diviralkan!
6. Sebagai umat Islam kita seharusnya membantu merawat dan menutup “penyakit” ini, bukan membantu meleluasakan jangkitannya kepada masyarakat.

Dalam hadis Abu Hurayrah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُتِيَ بِمُخَنَّثٍ قَدْ خَضَّبَ يَدَيْهِ وَرِجْلَيْهِ بِالْحِنَّاءِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَا بَالُ هَذَا؟» فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، يَتَشَبَّهُ بِالنِّسَاءِ! فَأَمَرَ بِهِ فَنُفِيَ إِلَى النَّقِيعِ

“Suatu ketika, pernah dihadapkan kepada Nabi SAW seorang lelaki yang menyerupai wanita. Lelaki tersebut telah mewarnai tangan dan kakinya dengan inai (persis wanita). Lalu Nabi SAW bertanya : Apahal dia ini? Seseorang pun menjawab: Wahai Rasulullah, orang ini telah berpenampilan menyerupai perempuan! Lantas baginda SAW pun memerintahkan agar lelaki tersebut diasingkan di daerah al-Naqi’ (sebuah wilayah di Madinah)” [riwayat Abu Dawud].
Bahkan Nabi SAW pernah bertindak tegas dengan memerintahkan para sahabat RA mengusir mereka dari rumah:

أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ!

“Usirlah mereka dari rumah kalian!” [riwayat al-Bukhariy].
7. Hadis-hadis tersebut bukanlah simbol penganaiyaan atau diskriminasi buat golongan transgender ini, bahkan ia merupakan simbolik “penyakit” al-mutasyabbih ini sangat bahaya dan perlu dicegah serta dirawat segera, kerana ia membawa ke arah maksiat yang lebih besar, seperti keruntuhan agama, kerosakan masyarakat, pergaulan bebas, perkahwinan sejenis, penularan sodomi, lesbian dan pelbagai bala lagi!
Justeru Nabi SAW sebagai pemimpin yang melihat dari aspek maslahat di kala agama Islam gagah dan umatnya penuh iman ketika itu, memilih pendekatan tegas demi memberi kesedaran serta rawatan, begitu jua demi menyampaikan mesej kepada umat baginda SAW bahawa hal tersebut jangan diambil enteng dan perlu dibasmi!
Sebagaimana peristiwa Nabi SAW enggan mengimamkan solat jenazah kepada penghutang yang tidak melunaskan hutangnya.

Dan sebagaimana peristiwa Nabi SAW memboikot beberapa sahabat RA yang tidak menyertai jihad peperangan.
8. Ya, pada zaman ini, di masa agama Islam ditekan goyah, di saat ramai umat Islam rapuh iman, di kala kejahilan berleluasa, pelbagai pendekatan bijaksana perlu dilakukan sebagai rawatan, dakwah dan rahmat buat mereka.
Namun bukan bermakna maksiat ini wajar ditoleransi untuk diterima serta dicanangkan, sedangkan seburuk-buruk manusia ialah mereka yang mengingkari Allah dan Rasul-Nya, lalu mewar-warkannya.

Sabda Nabi SAW:

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافَاةٌ إِلَّا الْمُجَاهِرِينَ 

“Setiap umatku (berhak) diampunkan melainkan mereka yang mempamerkan terang-terangan (dosa mereka)” [riwayat al-Bukhariy & Muslim].
9. Buat masyarakat, bantulah mereka kembali ke pangkal jalan tanpa kutukan dan cemuhan.
Buat mereka yang diuji, jangan berputus asa dengan rahmat dan hidayah Allah. Kuatkan diri untuk terus berjuang meluruskan diri.
KAMILIN JAMILIN
(Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan)

Tafseer surah al-Lail (Bahagian 1)

===========
Surah al-Lail
===========
Perkenalan:

Surah Makkiyyah.
Mempunyai 21 ayat.
Surah yang ke 92 dan dalam mukasurat 595 berdasarakan urutan mushaf Uthmani.

Surah ini merupakan surah yang ke-9 diturunkan selepas surah al-'Ala, kemudian surah al-Fajr dan surah ad-Dhuha.

Ayat 1-4 : Sumpah Allah
Ayat 5-7 : Sikap pemurah/dermawan
Ayat 8-11: Sikap orang yang bakhil
Ayat 12-19: Gambaran neraka
Ayat 20-21: Sikap orang yang beriman

Thursday, 14 December 2017

SUNNAHKAH MENUTUP MAJLIS DENGAN TASBIH KAFARAH?

Perkongsian dari Ustaz Mohd Masri Mohd Ramli

*SUNNAHKAH MENUTUP MAJLIS DENGAN TASBIH KAFARAH?*
عَنْ أَبِي بَرْزَةَ الأَسْلَمِيِّ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ بِأَخَرَةٍ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَقُومَ مِنَ الْمَجْلِسِ
Daripada Abu Barzah al-Aslamiy radiallahu 'anhu, Rasulullah sallallahu 'alaihi wa sallam ketika di penghujung hayatnya, apabila baginda mahu bangun daripada sesuatu majlis baginda akan membaca:
‏"‏ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ ‏"‏ ‏.
Maha suci engkau. Ya Allah, dengan pujian kepada Mu, aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Aku memohon keampunan Mu. Aku bertaubat kepada Mu.
‏ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّكَ لَتَقُولُ قَوْلاً مَا كُنْتَ تَقُولُهُ فِيمَا مَضَى ‏.‏ قَالَ ‏"‏ كَفَّارَةٌ لِمَا يَكُونُ فِي الْمَجْلِسِ ‏"‏ ‏.
Seorang lelaki bertanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau membaca satu perkataan yang tidak pernah engkau bacakan pada masa yang lalu. Baginda menjawab: Ia merupakan penghapus kepada apa yang berlaku di dalam majlis.
[Sunan Abi Daud, Kitab al-Adab, Bab Fi Kafaraati al-Majlis, hadis no: 4857, Shaik Syu'aib al-Arnaouth berkata: Isnadnya sahih].
Shaikh 'Abdul Muhsin al-'Abbad berkata dalam Syarah Sunan Abi Daud:
وأن على الإنسان أن يحرص على اتباع هذا الأمر،
Hendaklah manusia bersungguh-sungguh mengikuti hal ini,
وعلى الإتيان بهذا الذكر ليكون كفارة لما يحصل، ويكون زيادة خير فيما إذا كان ليس هناك شيء مكفر
dan bersungguh-sungguh membaca zikir ini agar ia menjadi penghapus (kepada perkara sia-sia) yang berlaku (di dalam sesuatu majlis), dan menjadi tambahan kepada kebaikan apabila tidak berlaku apa-apa yang perlu dikafarahkan.
وإنما المجالس مجالس خير مثل مجالس ذكر العلم، فيكون ذلك زيادة خير على خير، ونور على نور.
Sesungguhnya majlis-majlis kebaikan seperti majlis ilmu, maka tasbih kafarah itu akan menjadi penambahan kebaikan ke atas kebaikan, cahaya di atas cahaya.

Kenapa dalam Al-Quran perkataan امرأة dan زوجة digunakan untuk bermaksud isteri?

Kenapa dalam Al-Quran perkataan امرأة dan زوجة digunakan untuk bermaksud isteri?
Apa beza antara keduanya?

Jawapan: (Perkongsian dari Al-Fadhil Ad-Duktur Ahmad Sanusi)

1-istilah zaujah hanya digunakan apabila kesempurnaan hubungan suami isteri itu jelas.
Dengan sebab itu Allah guna zaujah untuk Nabi Adam dan Rasulullah sallahu 'alaihi wasallam sediri. 

contoh:
- وَقُلْنَا يَا آدَمُ اسْكُنْ أَنتَ وَزَوْجُكَ الْجَنَّةَ النَّبِيُّ أَوْلَى بِالْمُؤْمِنِينَ مِنْ أَنفُسِهِمْوَأَزْوَاجُهُأُمَّهَاتُهُمْ [al-Baqarah: 35]

2-manakala hubungan suami isteri yg tidak sempurna maksud ada perbezaan dari aspek aqidah dan sebagainya, maka Allah guna imra’ah.

contoh isteri Nabi Nuh dan Nabi Lut, begitu juga dengan isteri Firaun.
ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ كَفَرُوا امْرَأَتَ نُوحٍ وَامْرَأَتَ لُوطٍ ۖ كَانَتَا تَحْتَ عَبْدَيْنِ مِنْ عِبَادِنَا صَالِحَيْنِ فَخَانَتَاهُمَا فَلَمْ يُغْنِيَا عَنْهُمَا مِنَ اللَّهِ شَيْئًا وَقِيلَ ادْخُلَا النَّارَ مَعَ الدَّاخِلِينَ
[at-Tahrim: 10]

وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِّلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِندَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِن فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ [At-Tahrim: 11]

3-Sekiranya hubungan suami isteri itu tidak pula sempurna dari aspek kurniaan anak juga Allah akan menggunakan lafaz imra’ah.

contoh adalah pada Nabi Zakaria:

قَالَ رَبِّ أَنَّىَ يَكُونُ لِي غُلاَمٌ وَقَدْ بَلَغَنِيَ الْكِبَرُ وَامْرَأَتِي عَاقِرٌ [Maryam: 5 dan 8]

4-Namun setelah mana hubungan perkahwinan mereka sempurna dengan dikurniakan anak, Allah menggunakan lafaz zaujah pula:

زَكَرِيَّا إِذْ نَادَى رَبَّهُ رَبِّ لَا تَذَرْنِي فَرْدًا وَأَنتَ خَيْرُ الْوَارِثِينَ* فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَى وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ [al-Anbiya': 89-90]


Boleh semak disini: Tafsir