Saturday, 27 September 2014

Abu Anas Madani: 
Catatan Rehlah Haj 1435H (01).
بسم الله الرحمن الرحيم،
الحمد لله رب العلمين القائل:
{ وأذن في الناس بالحج... } الآية من الحج: 27-28 
والصلاة والسلام على نبينا وقدوتنا محمد، وعلى آله وصحبه أجمعين.
{Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus [984] yang datang dari segenap penjuru yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan [985] atas rezki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternakan [986]. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.} [Al-Hajj: 27-18].

[984] Unta yang kurus menggambarkan jauh dan sukarnya yang ditempuh oleh jemaah haji.
[985] Hari yang ditentukan ialah hari raya haji dan hari tasyriq, yaitu tanggal 10, 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.
[986] yang dimaksud dengan binatang ternak di sini ialah binatang-binatang yang termasuk jenis unta, lembu, kambing dan biri-biri.]

Asy-Syauq dan Al-Hanin – Kerinduan dan Keghairahan ke Dua Tanah Haram.

Rehlah atau pengembaraan mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram adalah Rehlah Imaniah yang diberkati, tidak ada bandingan yang seumpamanya.

Sesiapa yang memerhatikan kepada hujjaj atau jemaah haji dan kesan ibadat haji ke atas diri mereka selepas melakukannya, nescaya dia akan dapati dengan penuh ilmu bahawa maqsad atau objektif Syara’ yang suci dalam mensyariatkan ibadat haji ke atas manusia.

Apa yang zahirnya, ramai dari kalangan jemaah selepas pulang dari mengerjakan ibadat ini, telah tertanam dalam jiwa mereka perasaan takut dan gerun untuk melakukan dosa-dosa yang besar, kehidupan mereka juga berubah ke arah yang lebih baik. Ini semua adalah limpahan kurniaan dan kemurahan Allah SWT ke atas hamba-Nya.

Allah SWT telah menjadikan dalam hati orang muslimin seluruhnya perasaan kerinduan dan pengharapan untuk sampai ke Dua Tanah Suci ini, bumi yang diberkati, tempat ibadat yang besar, menjadi tetamu Allah SWT.

Setiap orang yang berada di bumi mana saja, di hujung dunia ini pasti bercita-cita untuk melihat sendiri dengan mata kepalanya Baitullah al-‘Atiq, bumi Makkah, Padang Arafat, Muzdalifah, Mina dan juga negeri al-Habib kekasih Tuhan sekalian alam, -ke atasnya selawat dan salam-. Setiap mereka tidak akan puas dengan hanya sekali, bahkan bercita-cita untuk datang berkali-kali kepadanya.
Perasaan kerinduan dan kecintaan ini pada hakikatnya adalah rahsia yang Allah SWT campakkan kepada makhluk-Nya, yang menjadi sebab orang tidak lagi berfikir tentang kesusahan dan kepayahan yang dihadapi serta kewangan yang dibelanjakan demi untuk merealisasikan rehlah keimanan ini.

Demikianlah perasaan salah seorang jemaah haji tahun ini Abu Anas Madani apabila dijemput untuk bersama dalam kafilah haji Ash-har Travel walaupun keuzuran dibahagian lutut yang nampak tidak begitu sesuai untuk bertugas menguruskan jemaah haji. Tetapi demi untuk menyertai jemaah haji ini pengorbanan tetap diteruskan.
Maka pada pagi Sabtu 20 September 2014 bersamaan dengan 25 Zul-Qa’dah 1435H berangkatlah AAM bersama rombongan dari KB Jam 9:30 pagi ke KLIA setersnya pada jam 3:30 petang menaiki pesawat biasa SAUDI SV831 ke Jeddah.
Kali ini tanpa melalui proses biasa di Komplek Haji Kelana Jaya, Alhamdulillah, perjalanan lebih mudah dan ringkas.

Sewaktu tiba di KLIA sempat juga bertemu dengan beberapa orang sahabat Tuan Haji Mustafa dan Hajjah Rokiah (Jemaah haji yang bersama pada tahun 1434H) akhi Jazman bersama keluarganya dan tidak ketinggalan teman setia dakwah Ustaz Hidir.

Dalam pesawat ke Jeddah ini sempat mutalaah buku kecil yang bertajuk
"الشوق والحنين الى الحرمين”
susunan Dr. Muhammad Musa Asy-Syarif, Jazahullahu Khaira yang menukilkan pengalaman dan perasaan kecintaan dan kerinduan para penulis yang mencatatkan kisah mereka dalam buku masing-masing.

Perasaan dan pengalaman setiap orang ada perbezaannya namun boleh dikatakan semuanya merupakan khuatir dalam hati dan jiwa yang sukar untuk digambarkan.

Ana sendiri bila bawa jemaah yang baru tiba di Makkah, setelah memperkenalkan tempat-tempat yang sepatutnya di sekitar Kaabah akan pergi ke belakang, meninggalkan jemaah sendirian di hadapan Kaabah melayani perasaannya… dan apabila tiba waktu bertemu kembali pastinya mereka datang dengan mata merah kesan luahan perasaan yang mereka alami setelah bersimpuh di hadapan Baitullah, menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Tuan Kaabah yang telah menjemputnya datang bertamu.

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT.

Kalau kita toleh ke zaman yang lampau, dengan kepayahan dan kesusahan perjalanan tentulah kerinduan itu lebih berganda lagi, berbanding dengan zaman sekarang yang orang boleh lihat Kaabah, Makkah dan Madinah melalui alat media yang menayangkan semua yang berlaku pada setiap detik dan saat.
Sedangkan orang dahulu mereka hanya mendengar tapi tidak dapat melihat, kata para cendikiawan:
ليس المخبر كالمعاينة
“Bukanlah dengar itu sama dengan melihat.”

Namum keajaiban dua Haramain ini masih utuh, perasaan kerinduan tetap wujud dalam jiwa muslimin setiap masa, ramai yang bercita-cita untuk sampai kepada keduanya, merasai dan menjiwai sendiri kelebihan berada dan beribadat di tempat ini serta melihatnya dengan pandangan mata sendiri.

Beberapa faedah daripada risalah ini terserlah melalui beberapa sudut;
1- Menyatakan hikmah Allah SWT menanamkan perasaan kerinduan dalam hati manusia hingga mereka sanggup datang dari pelusuk dunia.
Apalagi kalau kita lihat sejarah haji di kurun ke 10 hingga 14 dikala umat Islam telah dhaif berada dalam kerendahan di bawah penjajah sedangkan dulunya mereka umat yang sangat dihormati. Mereka datang ke Tanah Haram untuk menggilap iman di negeri yang tidak duduk di bawah penjajah kafir, kedatangan mereka telah memulihkan semangat ke dalam jiwa. (Penulis telah mengemukan beberapa contoh, maaf ana tak sempat nak terjemahkannya).

2- Menjelaskan kesan kerinduan ini untuk meringankan bebanan musibah dan meredakan tekanan, bilamana para hujjaj mengetahui dan menyedari betapa orang-orang dahulu telah melalui kesukaran yang jauh bezanya dengan sekarang untuk sampai ke Haramain, dari sudut keselamatan dan keamanan perjalanan, jalanraya tak ada, kenderaan laut atau darat yang mengambil masa yang begitu lama, ramai yang mati dalam perjalanan dan seumpamanya.

3- Menyatakan hubungan yang rapat perasaan ini dengan keimanan yang terpahat dalam fitrah manusia yang baik. Bagi setiap muslim mesti ada kadar yang tertentu perasaan keimanan ini yang mesti disuburkan hingga sampai menjiwai dan menghayati semua ibadat dan pengembaraan yang dilakukan ini dengan penuh rasa bahagia dan seronok serta bertuah dapat menunaikannya.

Bukan seperti sebahagian yang datang dengan perasaan malas, terpaksa, ikut suami atau isteri, ikut kawan, tidak bersedia, tidak menjiwai ruh ibadat dan sebagainya. Maka orang seperti ini akan rasa berat, nak cepat-cepat siap, nak berehat-rehat di hotel, apalagi yang tinggal di hotel mewah. Mereka tidak dapat mengecapi kemanisan limpahan rahmat Allah SWT di dalam hati dan inilah yang bahayanya, mereka tidak dapat kesan baik dari ibadat haji. Maka jadilah keadaannya sama seperti sebelumnya, tidak ada perubahan dalam kehidupannya ke arah jalan yang diredhai oleh Allah SWT selain mendapat title “HAJI’’ atau “HAJJAH”.

Akhirnya,
betapa cantik dan indahnya keadaan jemaah haji yang telah mengalir air mata tangisan ketika berhadap dengan Kaabah, berdiri di Multazam atau ketika menyaksikan tempat ibadat yang lain juga ketika berada di Masjid Rasulillah SAW. Perasaannya yang terharu, lidahnya menyebut nama Allah SWT dan berselawat ke atas Rasulullah SAW hatinya berazam dan bertekad untuk menjadi hamba Allah SWT yang mukmin atau mukminah sejati.

Sebaliknya, bagi yang tidak mendapat halawah (keindahan – kemanisan) ini, muhasabah dan murajaahlah diri serta iman sebelum berakhirnya tempoh berada di Haramain dan lebih-lebih lagi sebelum tamat tempoh hayat di dunia ini.

Akhukum, AAM.
SV381 KLIA – JEDDAH.
Menghampiri udara Miqat Qarn Al-Manazil.
Petang 25 Zul-Qa’dah 1435H.


Sumber: fb AAM

No comments:

Post a Comment