By: Dr. MAZA
Saudi sering dikaitkan dengan fahaman wahabi. Asalnya, ia merujuk kepada gerakan Muhammad bin Abd al-Wahhab. Mulanya, ia sebuah gerakan pembaharuan yang sepatutnya menghidupkan reform. Antara yang bagus dalam gerakan itu ialah keluasan bermazhab dan melihat dalil dari pelbagai pihak.
Dalam sejarah gerakan tersebut, ia telah menjadi inspirasi kepada banyak gerakan lain di dunia ini. Sehingga para ulama Deoband India yang beraliran Ashairah dan Maturidiyyah juga dituduh wahabi oleh penduduk di sana.
Golongan pembaharuan di Indonesia dan Tanah Melayu juga dituduh wahabi sejak dahulu sehingga hari ini. Prof Hamka dituduh wahabi, gerakan Kaum Muda yang membela wanita melayu dalam pelajaran dan rumahtangga dilebel sebagai wahabi dan pelbagai lagi. Padahal –walaupun ada beberapa sudut persamaan- di Tanah Melayu pengaruh Muhammad Abduh dan Rasyid Ridha yang lebih kuat. Wahabi telah dijadikan jenama untuk golongan konservatif menuduh musuh-musuh mereka.
Ini menunjukkan pengaruh gerakan pembaharuan Muhammad ‘Abdul Wahhab begitu kuat. Sehingga Dr Wahbah al-Zuhaili menyebut :
“Sesuatu yang tiada syak padanya, menyedari hakikat yang sebenar, bukan untuk meredhakan sesiapa, berpegang kepada ayat al-Quran yang agung (maksudnya):“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85), bahawa suara kebenaran yang paling berani, pendakwah terbesar untuk islah (pembaikian), membina umat, jihad dan mengembalikan individu muslim kepada berpegang dengan jalan salafus soleh yang terbesar ialah dakwah Muhammad bin ‘Abdul Wahhab pada kurun yang kedua belas hijrah.Tujuannya untuk mentajdidkan kehidupan muslim, setelah secara umum dicemari dengan berbagai khilaf, kekeliruan, bid’ah dan penyelewengan. Maka Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab ialah pemimpin kebangkitan agama dan pembaikian (islah) yang dinantikan, yang menzahir timbangan akidah yang bersih..” (Rujukan: Dr Wahbah al-Zuhaili, Risalah Mujaddid al-Din fi Qarn al-Thani ‘Asyar, m.s 57-58).
Namun malangnya, ramai pewaris gerakan itu dan golongan yang menggunakan jenama ‘salafi’ memilih untuk bermazhab dengan kejumudan dalam memahami nas-nas agama. Mereka enggan memahami keluasan nas dengan melihat kepada konteksnya yang sepatut. Lalu mereka jumud dalam muamalat sehingga gagal menghidangkan Islam yang dapat menangani perkembangan masyarakat hari ini. Maka, ‘wahabi’ menjadi jenama kejumudan bukan lagi keluasan. Ia telah seiras dengan golongan konservatif agama yang sedia ada walaupun berbeza dalam beberapa perkara. Bahkan segelintir golongan yang dinamakan wahabi itu mengharamkan Fiqh al-Waqi ataupun memahami realiti dalam berfatwa. Ini disebabkan kejumudan minda dan kedangkalan memahami Usul al-Fiqh.
Di samping sibuk dengan isu-isu pinggiran seperti isbal, muzik, mengklasifikasikan orang, menyesatkan mereka yang tidak sealiran, sebahagian mereka yang menggelar diri salafi itu pula sibuk menjadi lidah yang membela para pemerintah yang munkar. Mereka mengumpulkan dalil untuk berhujah tentang kewajipan mentaati pemerintah dalam apa keadaan sekalipun, tapi mereka tidak mengumpulkan dalil tentang haramnya kezaliman, rasuah, penyalahgunaan kuasa, penindasan hak dan pelbagai perkara yang lain. Mereka gagal melihat dalil dalam konteksnya. Mereka mengikut salaf dalam perkara yang mereka mahu, dan meninggalkan salaf dalam perkara yang bertentangan dengan nafsu penguasa yang mereka patuhi.
Maka jadilah jenama salafi ataupun ‘wahabi’ itu makin disalahfahami dan mengelirukan.
No comments:
Post a Comment