Saturday, 15 November 2014

CARA BENAR MENGELAKKAN GANGGUAN SEKSUAL LELAKI BUAS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Jumaat (al-Ahzab [33:59]) pada 7 November 2014. Antara isunya adalah hikmah di sebalik arahan menutup aurat dengan sempurna.
Allah adalah Zat Yang paling pandai dan bijak, manakala kita sebagai manusia masih lemah dan bodoh. Jika dikumpulkan sejuta otak genius Albert Einstein dalam sebuah kolam, lalu disatukan menjadi satu “OTAK SUPER”, pun masih tak mampu menandingi kehebatan dan kebijaksanaan Allah mencipta makhlukNya walau seekor nyamuk. Antara bukti kebijaksanaan Allah adalah arahanNya agar wanita menjaga kehormatan dengan menutup aurat dengan sempurna. Sempurna itu bermaksud pakaian yang tidak ketat, tidak jarang, tidak harum menarik perhatian, tidak gedik menggoda, tudung kepala dilabuhkan menutup kepala dan dilengkapkan dengan akhlak mulia atau pakaian taqwa. Firman Allah:
يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا
Ertinya: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu SERTA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIMAN, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); CARA YANG DEMIKIAN LEBIH SESUAI UNTUK MEREKA DIKENAL (SEBAGAI PEREMPUAN YANG BAIK-BAIK) MAKA DENGAN ITU MEREKA TIDAK DIGANGGU. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, LAGI MAHA MENGASIHANI (al-Ahzab[33:59]).
Kebijaksanaan Allah yang tersirat dalam ayat ini perlu dilihat dari beberapa sudut:
1) Allah menujukan arahan tersebut kepada para isteri nabi, anak perempuannya dan WANITA BERIMAN. Ia agak konsisten kerana dalam ayat perihal menutup aurat yang lain pun Allah menyebut arahanNya kepada WANITA BERIMAN:
وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Ertinya: DAN KATAKANLAH KEPADA PEREMPUAN-PEREMPUAN YANG BERIMAN supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka (al-Nur [24:31]).
Mengapa Allah menyebut WANITA BERIMAN dan bukannya WANITA MUSLIMAH? Ini kerana hanya wanita yang beriman sahaja mampu tunduk patuh menurut arahan Allah secara sempurna tanpa soal.
2) Pada hujung ayat ini Allah menyebut namaNya yang “MAHA MENGASIHANI (al-Ahzab[33:59]).” Memang Allah maha mengasihani kaum wanita apabila mengarahkan mereka menutup aurat dengan sempurna kerana arahanNya itu menjadi sebab wanita beriman dihormati selayaknya dan tidak diganggu. Kasih Allah juga terserlah apabila arahan ini menjadi sebab ganjaran baik kepada wanita yang menutup aurat secara sempurna di akhirat kelak.
3) Allah menyatakan penutupan aurat secara sempurna menjadi sebab wanita dihormati dan dikenali sebagai wanita baik. Wanita yang sopan pakaiannya kurang mengundang minat lelaki buas berbanding wanita yang berpakaian seksi menyeksa jiwa. Saya kira anda boleh semakin beriman dengan firman Allah di atas apabila menonton video buatan remaja Muslim Amerika dalam youtube. Remaja tersebut dengan kawannya membuat eksperimen mudah dalam 2 situasi. Dalam situasi pertama, kawannya berpakaian seksi dan berjalan selama 5 jam di sekitar Manhattan. Sepanjang tempoh pertama, kawannya diganggu dan cuba digoda secara berterusan oleh ramai lelaki. Dalam situasi kedua pula kawannya berpakaian Islam lengkap berhijab dan turut berjalan di lokasi sama selama 5 jam. Kali kedua kawannya langsung tidak diganggu. Sungguh Allah Maha Bijaksana.
Lalu ada yang berhujah, menutup aurat tidak menjamin keselamatan wanita kerana sejarah membuktikan ramai sekali wanita yang sudah menutup aurat tetap dicabul atau dirogol. Jawapannya mudah sahaja, ia adalah “COLLATERAL DAMAGE” atau KEMUSNAHAN SAMPINGAN akibat ransangan lelaki buas terhadap wanita yang seksi menyeksa. Lelaki tersebut cuba melampiaskan nafsunya kepada wanita seksi menyeksa tetapi kesempatan tidak memihak kepadanya. Lalu si buas terserempak di lorong sempit atau tepi hutan dengan kanak-kanak atau wanita sopan yang mudah menjadi bahan lampiasan nafsunya. Kata nafsu si buas: “Tak dapat rotan, akar pun jadilah!”
Berimanlah kepada al-Quran secara menyeluruh. Setiap arahan Allah pasti ada kebaikannya untuk manusia. Usah terpedaya dengan pejuang feminisme yang giat membela wanita dalam isu aurat kerana mereka berasa wanita beriman tertindas dibungkus dengan arahan Allah ini. Percayalah bahawa Allah yang mencipta manusia JAUH LEBIH BIJAKSANA DAN JAUH LEBIH MENYAYANGI ANAK PEREMPUAN ATAU ISTERI KITA dari para pejuang feminsime songsang tersebut. Jika anda tanya saya siapakah yang lebih anda percaya keikhlasan kasih sayangnya. Pejuang feminist songsang atau Allah? Saya kira anda tahu apa jawapannya. Anda bagaimana?

No comments:

Post a Comment