Nukilan Saudara Marwan Bukhori,
Pelajar Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan
Muhammad Abdullah Darraz (1894-1958, tiga dari kiri) seorang ulama yang sangat hebat, khasnya dalam ilmu al-Quran dan falsafah akhlak. Dua kajian Phd beliau ialah tentang al-Quran yang kemudian diterbitkan dengan judul Madkhal Ila al-Quran al-Karim (kajian 'sampingan') dan satu lagi ialah Dustur al-Akhlaq fi al-Quran (asalnya ditulis dalam bahasa Perancis bertajuk "La Morale Du Koran" sebelum diterjemahkan ke bahasa Arab), kitab terhebat pada zamannya dan barangkali sepanjang sejarah, itu buku pertama (bahkan mungkin satu-satunya) buku falsafah akhlak dan etika yang ditulis secara total dari al-Quran, para orientalis di Perancis sangat kagum dengan buku tersebut, sebagaimana dicatat sebahagian penulis.
Kedua-dua buku hebat itu ada dalam simpanan saya. Ilmuan al-Azhar itu menulis dua risalah tersebut di Universiti Sorbonne, Perancis, muridnya iaitu al-Qaradawi menamakan Darraz sebagai "Ibn al-Azhar dan Ibn Sorbonne". Selain dua buku unik dan penting itu, ada bukunya bertajuk al-Naba' al-'Azim dinobat sebagai antara yang penting khasnya pada abad ke-20, terutama dalam bidang balaghah al-Quran (al-I'jaz al-Bayani). Cukuplah saya sebut, bahawa sesiapa yang baca al-Naba' al-'Azim, tahulah mereka apa keistimewaan buku itu yang sangat menghidupkan hati dan akal dalam berinteraksi dengan al-Quran.
Menurut tokoh tafsir bumi Sham, guru kepada guru-guru kami dlm bidang al-Quran, Sh Faddal Hasan Abbas rahimahullah, Darraz salah seorang tokoh penting dalam sumbangan terhadap ilmu al-Quran pada abad ke-20, selain Mustafa Sadiq al-Rafi'i (khasnya dlm Tahta Raayah al-Quran dan I'jaz al-Quran wa al-Sunnah al-Nabawiyyah), Syed Qutb (khasnya dalam al-Taswir al-Fanni dan Mashahid Yawm al-Qiyamah, malangnya dua buku ini jarang dibaca sbb agak 'berat' dan sangat sastera, berbanding Fi Zilal-nya) dan beberapa ilmuan lagi lagi.
Muhammad Darraz merupakan anak kepada Abdullah Darraz, ilmuan yang mensyarahkan kitab al-Muwafaqat oleh al-Shatibi semasa awal timbulnya setelah al-Muwafaqat lama 'tenggelam', sementara Muhammad Darraz pula telah melakukan tahqiq terhadap kitab al-Muwafaqat yang disyarah ayahnya itu. Muhammad Darraz pernah cuba menulis buah fikiran al-Shatibi dalam buku al-I'tisam menerusi karangannya "al-Mizan bayn al-Sunnah wa al-Bidaah", tetapi beliau meninggal sebelum sempat menghabiskannya.
Muhammad Darraz meninggalkan kesan yang sangat besar terhadap Sh Muhammad al-Ghazali rhm (dalam gambar, paling kanan), terutama bukunya al-Naba' al-'Azim. Malah, buku al-Naba' al-'Azim itulah antara faktor al-Ghazali menulis al-Tafsir al-Maudhu'i untuk seluruh al-Quran, kerana Darraz hanya menulis tafsir surah al-Baqarah (tafsir yang sangat indah!) di hujung al-Naba' al-'Azim, sebagai praktis terhadap teori-teori baharunya (al-Nazarat al-Jadidah) sebagaimana terdapat dalam al-Naba' al-'Azim. Malahan, lebih dari itu, jelas terpancar pengaruh Darraz dalam pemikiran al-Ghazali apabila beliau menulis buku Nazarat fi al-Quran, selain perlbagai buku lain lagi.
Suatu yang tercatat dalam sejarah, Darraz mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Malik ben Nabi, pemikir Muslim dari Algeria yang unggul itu. Mereka bertemu dan berhubung dengan rapat khasnya semasa Darraz belajar di Sorbonne. Sesiapa yang membaca dan mengamati tulisan kedua-dua tokoh ini, pasti akan dapati beberapa persamaan, khasnya dalam bab al-Quran dan pembinaan peradaban kemanusiaan. Bahkan, salah satu buku penting tulisan Malik ben Nabi ialah al-Zahirah al-Quraniyyah (terjemahan ke bahasa Arab oleh Abd al-Sobur Shahin), ia diterjemah ke bahasa Inggeris sebagai Quranic Phenomenon dan Fenomena al-Quran dalam bahasa Melayu. Dalam buku tersebut ada persamaan dengan buah fikiran Darraz, bahkan Darraz telah memberi kata pengantar untuk buku Malik ben Nabi itu.
Darraz sangat mencintai al-Quran dan memuliakannya, sehinggakan dicatat bahawa beliau sentiasa berwuduk dan menyuruh para pelajarnya berwuduk, apabila membaca ayat sujud tilawah dalam kuliah atau syarahannya, beliau dan murid-muridnya akan sujud. Paling kurang, beliau membaca enam juzuk sehari secara konsisten. Sh Abu Zuhrah rhm, temannya menyebut bahawa semasa seminar di Lahore Pakistan, "Darraz mengimamkan kami solat Isyak, (usai solat) kami semua pergi ke tempat tidur masing-masing, tetapi Darraz bersama dengan solat dan al-Quran, kamu tidak akan lihat Darraz, melainkan dia sedang membaca al-Quran atau sedang solat."
Semoga Allah merahmati al-Allamah Muhammad Abdullah Darraz, failasuf al-Quran, pembaharu zaman.
Sumber: FB Department of Quran & Sunnah Studies
No comments:
Post a Comment