Saturday, 15 November 2014

JANGAN TUMPANG SEMANGKUK KUTUK AL-QURAN

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am[6:68-69]) pada 15 November 2014. Antara isunya adalah larangan duduk bersama orang yang memperleceh al-Quran.
Jika ditanya tergamakkah anda mengutuk dan memperleceh al-Quran, sudah pasti jawapannya “TIDAK.” Seorang Muslim yang jahil sekalipun sangat sensitif apabila al-Quran diperleceh dan dipersenda, namun begitu ramai yang tak sedar bahawa mereka sedang mempersendakan al-Quran atas tindakan kurang cerdik mereka. Bagaimana?
Tidak cerdik untuk duduk berdiam diri tanpa bertindak apabila al-Quran dipermainkan. Umpamanya ketika semua ahli parlimen pembangkang bangun meninggalkan dewan kerana protes terhadap pihak kerajaan, tiba-tiba ada seorang ahli parlimen dalam pakatan pembangkang duduk bersila panggung sambil mengunyah kuaci seakan tiada apa yang berlaku. Firman Allah:
وَإِذَا رَأَيْتَ الَّذِينَ يَخُوضُونَ فِي آَيَاتِنَا فَأَعْرِضْ عَنْهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ وَإِمَّا يُنْسِيَنَّكَ الشَّيْطَانُ فَلَا تَقْعُدْ بَعْدَ الذِّكْرَى مَعَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ (68) وَمَا عَلَى الَّذِينَ يَتَّقُونَ مِنْ حِسَابِهِمْ مِنْ شَيْءٍ وَلَكِنْ ذِكْرَى لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ (69)
Ertinya: Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, MAKA TINGGALKANLAH MEREKA sehingga mereka memperkatakan soal yang lain; dan jika engkau dilupakan oleh Syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim itu, sesudah engkau mengingati (akan larangan itu). Dan tidaklah ada tanggungjawab sedikitpun atas orang-orang yang bertaqwa mengenai dosa orang-orang (kafir yang mengejek-ejek) itu, akan tetapi (kewajipan orang-orang Islam) ialah mengingati (larangan Allah itu) supaya mereka bertaqwa (al-An’am[6:68-69]).
Duduk tanpa reaksi kepada penghinaan Allah turut memalitkan lumpur KUFUR kepada kita sebagaimana penegasan Allah dalam ayat lain:
وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آَيَاتِ اللَّهِ يُكْفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلَا تَقْعُدُوا مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُوا فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِثْلُهُمْ إِنَّ اللَّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا
Ertinya: Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: APABILA KAMU MENDENGAR AYAT-AYAT KETERANGAN ALLAH DIINGKARI DAN DIEJEK-EJEK (OLEH KAUM KAFIR DAN MUNAFIK), MAKA JANGANLAH KAMU DUDUK (BERGAUL) DENGAN MEREKA SEHINGGA MEREKA MASUK KEPADA MEMPERKATAKAN SOAL YANG LAIN; KERANA SESUNGGUHNYA (JIKA KAMU MELAKUKAN YANG DEMIKIAN), TENTULAH KAMU SAMA SEPERTI MEREKA. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka Jahannam (al-Nisa’[4:140]).
Selain duduk tanda redha dengan jenayah pencaci al-Quran, memperleceh dan mempersenda al-Quran boleh muncul dalam berbagai cara lain. Mentafsir al-Quran secara songsang juga termasuk dalam jenayah kepada al-Quran. Saya pernah menonton video si pandir berbicara penuh yakin kepada muridnya mempertahankan Iblis. Katanya:
“Iblis sebenarnya sangat mematuhi Allah apabila enggan sujud kepada Adam. Ini kerana Iblis tahu bahawa hanya Allah sahaja yang selayaknya disembah dan disujud. Oleh itu, keengganannya sujud pada Adam bukan kerana sombong tetapi kerana mempertahankan ilmunya tentang larangan sujud kepada selain Allah.”
Kesian sekali muridnya terangguk-angguk dalam video tersebut di”auta” sedemikian rupa oleh Mursyid palsu. Sedangkan al-Quran dengan jelas menyatakan si Iblis enggan sujud kerana bangga serta sombong dengan kasta dan asal kejadiannya.
Al-Quran adalah kitab suci yang wajib dihormati, diimani dan dipertahankan. Pertama sekali, jika mampu pertahankanlah al-Quran sehabis daya biar si jahil yang memperleceh al-Quran tahu bahawa mereka sedang melakukan dosa besar memperlecehkan Kalam Tuhan semesta alam. Jika tak mampu, segeralah meninggalkan si jahil itu mudah-mudahan dia sedar akibat protes senyap anda atau selamatkan iman anda dari najis KUFUR kerana Islam menegaskan REDHA (DIAM) DENGAN KEKUFURAN ADALAH SUATU KEKUFURAN.

No comments:

Post a Comment