Sunday, 9 November 2014

DAKWA TAHU YANG GHAIB ADALAH SUATU KEBIADABAN KEPADA ALLAH & RASULULLAH.

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.
Nota Kelas Tafsir Sabtu (al-An’am [6:59]) pada 8 November 2014. Antara isunya adalah Allah adalah SATU-SATUNYA ZAT YANG MENGETAHUI perkara ghaib.
Muslim yang beriman harus terduduk dan terdiam melihat ayat ini yang menggambarkan sejauh mana terbatasnya pengetahuan manusia berbanding ilmu Allah Yang Maha Mengetahui. Firman Allah:
وَعِنْدَهُ مَفَاتِحُ الْغَيْبِ لَا يَعْلَمُهَا إِلَّا هُوَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَمَا تَسْقُطُ مِنْ وَرَقَةٍ إِلَّا يَعْلَمُهَا وَلَا حَبَّةٍ فِي ظُلُمَاتِ الْأَرْضِ وَلَا رَطْبٍ وَلَا يَابِسٍ إِلَّا فِي كِتَابٍ مُبِينٍ
Ertinya: Dan pada sisi Allah jualah ANAK KUNCI PERBENDAHARAAN SEGALA YANG GHAIB, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia lah sahaja; dan Ia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Ia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata (al-An’am [6:59]).
Kunci perbendaharaan ghaib itu ada 5 PERKARA sebagaimana diperincikan oleh ayat lain (Sahih al-Bukhari). Firman Allah:
إِنَّ اللَّهَ عِنْدَهُ عِلْمُ السَّاعَةِ وَيُنَزِّلُ الْغَيْثَ وَيَعْلَمُ مَا فِي الْأَرْحَامِ وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ مَاذَا تَكْسِبُ غَدًا وَمَا تَدْرِي نَفْسٌ بِأَيِّ أَرْضٍ تَمُوتُ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Ertinya: Sesungguhnya di sisi Allah (1) pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan (2) Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan (3) yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan (4) tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan (5) tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya (Luqman[31:34]).
Walaupun baginda Rasulullah SAW mendapat wahyu dan dibimbing Jibril AS secara berterusan sepanjang hidup kerasulannya. Baginda tetap tidak mengetahui semua perkara ghaib melainkan dizinkan Allah:
عَالِمُ الْغَيْبِ فَلَا يُظْهِرُ عَلَى غَيْبِهِ أَحَدًا (26) إِلَّا مَنِ ارْتَضَى مِنْ رَسُولٍ فَإِنَّهُ يَسْلُكُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَمِنْ خَلْفِهِ رَصَدًا (27)
Ertinya: "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib, MAKA IA TIDAK MEMBERITAHU PERKARA GHAIB YANG DIKETAHUINYA ITU KEPADA SESIAPAPUN, "MELAINKAN KEPADA MANA-MANA RASUL YANG DI REDAINYA (UNTUK MENGETAHUI SEBAHAGIAN DARI PERKARA GHAIB YANG BERKAITAN DENGAN TUGASNYA; APABILA TUHAN HENDAK MELAKUKAN YANG DEMIKIAN) maka Ia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan) (al-Jinn [72:26-27]).
Banyak ayat lain menjelaskan Rasulullah SAW tidak mengetahui perkara ghaib:
قُلْ لَا أَمْلِكُ لِنَفْسِي نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّهُ وَلَوْ كُنْتُ أَعْلَمُ الْغَيْبَ لَاسْتَكْثَرْتُ مِنَ الْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِيَ السُّوءُ إِنْ أَنَا إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Ertinya: KATAKANLAH: "Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman" (al-A’raf[7:188]).
Lafaz “QUL” yang bermaksud KATAKANLAH pada pangkal ayat ini juga menunjukkan ia adalah arahan Allah kepada baginda agar tidak mengaku mengetahui perkara ghaib. Sama juga dengan firman ini:
قُلْ لَا أَقُولُ لَكُمْ عِنْدِي خَزَائِنُ اللَّهِ وَلَا أَعْلَمُ الْغَيْبَ وَلَا أَقُولُ لَكُمْ إِنِّي مَلَكٌ إِنْ أَتَّبِعُ إِلَّا مَا يُوحَى إِلَيَّ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَى وَالْبَصِيرُ أَفَلَا تَتَفَكَّرُونَ
Ertinya: KATAKANLAH (wahai Muhammad); "Aku tidak mengatakan kepada kamu (bahawa) perbendaharaan Allah ada di sisiku, dan aku pula tidak mengetahui perkara-perkara yang ghaib; aku juga tidak mengatakan kepada kamu bahawasanya aku ini malaikat, aku tidak menurut melainkan apa yang diwahyukan kepadaku". Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An’am [6:50]).
Prinsip mudah perihal perkara ghaib adalah HANYA ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI. Aishah RA pernah berkata (Sunan al-Tirmidhi):
وَمَنْ زَعَمَ أَنَّهُ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ فَقَدْ أَعْظَمَ الْفِرْيَةَ عَلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَقُولُ
قُلْ لَا يَعْلَمُ مَنْ فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ الْغَيْبَ إِلَّا اللَّهُ وَمَا يَشْعُرُونَ أَيَّانَ يُبْعَثُونَ

Ertinya: Sesiapa yang menyangka bahawa Rasulullah SAW senantiasa mengetahui apa yang bakal berlaku pada esok harinya, MAKA DIA TELAH MELAKUKAN JENAYAH YANG BESAR TERHADAP ALLAH kerana Allah berfirman: KATAKANLAH LAGI: TIADA SESIAPAPUN DI LANGIT DAN DI BUMI YANG MENGETAHUI PERKARA YANG GHAIB MELAINKAN ALLAH!" Dan tiadalah mereka menyedari bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula (sesudah mati) (al-Naml [27:65]).
Jika ada manusia berani mengaku mampu mengetahui perkara ghaib seperti tahu rahsia takdir dengan panduan tarikh lahir, tahi lalat atau urat jari maka ia adalah suatu KEBIADABAN KEPADA ALLAH & RASULULLAH. Begitu juga jika sesetengah bomoh atau “ustaz” perawat yang mendakwa tahu atau nampak bayangan siapa yang menghantar sihir kepada pesakit yang dirawatnya turut melakukan KEBIADABAN KEPADA ALLAH & RASULULLAH.
Pandulah akal dan iman anda dengan wahyu. Jangan mudah percaya dengan DAKWAAN TAK MAMPU AUDIT sesetengah manusia yang mahukan untung murahan dari dakwaannya itu.

No comments:

Post a Comment