Tuesday, 10 July 2012

Bolehkah puasa selepas 15 Sya'ban?

Dalil-dalil yang melarang
إِذَا انْتَصَفَ شَعْبَانُ فَلاَ تَصُومُوا
“Jika telah sampai kepada separuh Sya’ban, maka janganlah kalian berpuasa.” (HR. at-Tirmizi no. 738 dan Abu Daud no. 2337)
Dalam lafaz lain,
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَلاَ صَوْمَ حَتَّى يَجِىءَ رَمَضَانُ
“Jika telah separuh bulan Sya’ban, maka tidak ada puasa sehingga tibanya Ramadhan.” (HR. Ibnu Majah no. 1651)
Dalam lafaz yang lain lagi,
إِذَا كَانَ النِّصْفُ مِنْ شَعْبَانَ فَأَمْسِكُوا عَنِ الصَّوْمِ حَتَّى يَكُونَ رَمَضَانُ
“Jika telah masuk separuh bulan Sya’ban, maka tahanlah diri daripada berpuasa hingga tibanya bulan Ramadhan.” (HR. Ahmad)
Penilaian ulama’ hadis.

Ulama’-ulama’ yang mensahihkan hadis-hadis ini ialah: At-Tirmizi, Ibnu Hibban, Al-Hakim, At-Tahawi, dan Ibnu ‘Abdil Barr. Di antara ulama terkemudian yang mensahihkannya adalah Syaikh Al-Albani rahimahullah.
Ulama’-ulama’ yang menolak hadis di atas pula dan menganggap ia mungkar ialah: adalah ’Abdurrahman bin  Mahdi, Imam Ahmad, Abu Zur’ah Ar-Rozi, dan Al-Atsrom.
Hadis-hadis di atas dianggap mungkar oleh mereka kerana ia bertentangan dengan hadis larangan berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan. Larangan tersebut menunjukkan bolehnya berpuasa selepas 15 Sya’ban.
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ
“Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari atau dua hari berpuasa.” (HR. Muslim no. 1082

Al-Atsrom berkata:“Hadis larangan berpuasa setelah separuh bulan Sya’ban bertentangan dengan hadis lainnya. Ini kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri berpuasa di bulan Sya’ban seluruhnya (kebanyakan harinya) dan baginda melanjutkan dengan berpuasa di bulan Ramadhan. Hadis di atas juga bertentangan dengan hadis yang melarang berpuasa dua hari sebelum Ramadhan. Kesimpulannya, hadis tersebut adalah hadis yang syadz, bertentangan dengan hadis yang lebih kuat.”
At-Tahawi menyatakan bahawa hadis larangan berpuasa setelah separuh Sya’ban adalah hadis yang mansukh (sudah dihapus). Bahkan At-Tahawi menceritakan bahawa telah ada ijma’ (kesepakatan ulama) untuk tidak beramal dengan hadis tersebut. Dan kebanyakan ulama memang tidak mengamalkan hadis tersebut.

Akan tetapi Imam Syafie dan ulama’-ulama’ mazhab Syafie serta sebahagian ulama Hanbali yang terkemudia berpendapat bahawa larangan berpuasa setelah separuh bulan Sya’ban adalah bagi orang yang tidak memiliki kebiasaan berpuasa ketika itu. Jadi bagi yang memiliki kebiasaan berpuasa (seperti puasa Isnin-Khamis), boleh berpuasa ketika itu, menurut pendapat ini. (Lihat Lathoif Al Ma’arif, 244-245)

Pendapat yang tepat dalam masalah ini adalah tidak ada masalah puasa setelah pertengahan Sya’ban kerana hadis larangan tersebut termasuk hadis lemah, apatah lagi jika pelakunya memang biasa berpuasa.


Larangan berpuasa Satu atau Dua Hari Sebelum Ramadhan

Dari Abu Hurairah, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لاَ تَقَدَّمُوا رَمَضَانَ بِصَوْمِ يَوْمٍ وَلاَ يَوْمَيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ

“Janganlah mendahulukan Ramadhan dengan sehari atau dua hari berpuasa kecuali jika seseorang memiliki kebiasaan berpuasa, maka berpuasalah.” (HR. Muslim no. 1082)

Imam Ibn Rajab al-Hanbali berkata, berpuasa di akhir bulan Sya’ban ada tiga bentuk:

Pertama, jika berniat dalam rangka berhati-hati dalam perhitungan puasa Ramadhan sehingga dia berpuasa terlebih dahulu, maka seperti ini jelas terlarang.

Kedua, jika berniat untuk berpuasa nazar atau mengqadha puasa Ramadhan yang belum dikerjakan, atau membayar kafarah (tebusan), maka kebanyakan ulama membolehkannya.

Ketiga, jika berniat berpuasa sunnah semata, maka ulama yang mengatakan harus ada pemisah antara puasa Sya’ban dan Ramadhan melarang hal ini walaupun itu mencocoki kebiasaan dia berpuasa, di antaranya adalah Imam Hasan al-Basri.

Namun yang tepat dilihat apakah puasa tersebut adalah puasa yang biasa dia lakukan ataukah tidak. Ini berdasarkan teks hadis di atas.  Jadi jika satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah kebiasaan dia berpuasa –seperti puasa Isnin-Khamis-, maka itu dibolehkan. Namun jika tidak, itulah yang terlarang. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Asy-Syafi’i, Imam Ahmad dan Al-Auza’i. (Lihat Lathoif Al Ma’arif, 257-258)


Kenapa ada larangan mendahulukan puasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan?

Pertama, jika berpuasa satu atau dua hari sebelum Ramadhan adalah dalam rangka hati-hati, maka hal ini terlarang agar tidak menambah hari berpuasa Ramadhan yang tidak dituntunkan.

Kedua, agar memisahkan antara puasa wajib dan puasa sunnah. Memisahkan antara amalan yang wajib dan sunnah adalah sesuatu yang disyariatkan. Sebagaimana Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang menyambungkan solat wajib dengan solat sunnah tanpa diselangi dengan salam atau zikir terlebih dahulu.

(Lihat Lathoif Al Ma’arif, 258-259)

Tulisan asal Ustaz Muhammad Abdul Tuasikal.
http://muslim.or.id/fiqh-dan-muamalah/hukum-puasa-setelah-pertengahan-syaban.html

No comments:

Post a Comment