Semasa pembentangan kertas kerja pertama di sebelah pagi KFIQH WANITA DAN ISLAM , saya cuba memikirkan, bagaimana penerimaan hadirin dengan latar belakang yang pelbagai, terhadap apa yang diutarakan oleh Al-Fadhilah Ustazah Norhafizah Musa (Official) di dalam pembentangan beliau. Tolak ketepi, pandangan lelaki terhadap pembentangan tersebut, cukup dengan persoalan bagaimana penerimaan kaum wanita sendiri terhadap apa yang dikongsi oleh Ustazah di bawah tajuk "Menjawab Salah Faham Kesaksamaan Gender".
Suatu tajuk yang cukup berat dalam suasana Malaysia semasa.
Mungkin yang menjadi keresahan saya ialah, tidak mudah untuk mengusik idea golongan liberal (definisi layman tanpa mengambil kira konotasi falsafah di sebaliknya). Kita bukan hanya akan berperang dengan idea dan pemikiran, malah prasangka dan sentimen yang bersimpang siur.
Saya fikir, kelompok NGO pembela wanita seperti Sisters in Islam, kebanyakan mereka bergerak atas dasar kesukarelawanan. Seperti ramai anggota masyarakat lain yang boleh memilih untuk hidup mementingkan diri mereka sendiri, tentu sahaja aktivis SIS boleh melakukan perkara yang sama, lepak-lepak di hujung minggu bersama keluarga dan rakan. Tetapi mereka memilih untuk 'menyusahkan diri' dengan isu-isu pembelaan wanita. Saya yakin jika tidak semua, pasti kebanyakan mereka mempunyai niat yang baik, mahu membantu kaum wanita.
Niat baik ini perlu terlebih dahulu diberi penghargaan, sebelum terus kepada kritikan. Sumbangan mereka dalam melancarkan kes-kes mahkamah yang tertangguh bertahun-tahun, membiarkan wanita tergantung tidak bertali, menyelamatkan wanita yang menjadi mangsa dera, dan pelbagai lagi kegiatan mereka, mesti diterima sebagai sumbangan yang signifikan.
Namun, mengapakah idea-idea mereka tentang kesaksamaan gender begitu asing daripada 'kita', yang datang daripada latar belakang Pengajian Islam? Pasti ia banyak dipengaruhi oleh latar belakang, pengalaman, dan persoalan epistemology yang menjadi tapak idea / fikrah masing-masing.
MENAMBAH SLIDE
Kerana itu saya cepat-cepat menambah satu slide tambahan, sebelum sesi bermula, pada menghuraikan kepentingan MENJADI PENDENGAR YANG BAIK berdasarkan Al-Zumar 39:18. Tujuannya adalah supaya para hadirin menenangkan pre-conceived idea masing-masing yang dibiarkan tanpa diurus.
"Apa benda yang lelaki ni tahu tentang gadis?"
"Argh, ustaz berketayap tu. Tipikal la. Kejap lagi mesti keluar lawak lucah dia"
"Kalau dah geng orang agama ni, dah tentu je bla bla bla!"
Membiarkan pemikiran ini berkecamuk di dalam minda, menyulitkan kita berlaku adil dalam mendengar. Maka Allah jadikan proses mendengar yang tenang, sebagai salah satu tuntutan agama.
Di hadapan saya ada makcik-makcik kampung dan bandar, ada mahasiswi dan surimah, ada pelajar sekolah menengah ada pelajar PhD, ada tradisionalis, ada liberalis, ada macam-macam. Saya cuba untuk memberi bahagian untuk semua, tanpa bersifat apologetik.
Saya bawakan contoh bagaimana hadith puasa sunat boleh disalah tafsir, demikian juga sunnah berbuka puasa diberi salah makna, yang semua itu berpunca daripada kegagalan menguruskan persepsi, konteks dan 'milieu' peristiwa serta hadith.
USAI PEMBENTANGAN
Saya sebagai lelaki, boleh berundur daripada perbincangan selepas pembentangan. Tetapi wanita sesama wanita, tiba masa untuk kalian diuji, apakah kalian saling kukuh mengukuhkan, atau saling menjatuhkan?
Lihat sahaja Presiden SW1M, memimpin sebuah NGO membela wanita, tetapi mengherdik dan memalukan seorang wanita di hadapan ramai. Oleh kerana asas pertubuhannya adalah kesaksamaan gender, maka persamaan gender antara BAWANI dan Presiden SW1M sepatutnya menjadi beliau lebih empati.
Bagaimana pula dengan badan-badan wanita seperti Sisters in Islam dan lain-lain, bertoleransi terhadap perbezaan pendapat sesama wanita? Jika pendapat Ustazah Norhafizah Musa 'disembelih', hakikatnya beliau juga wanita yang WAJIB disantuni oleh pertubuhan pembela wanita, walaupun berbeza pendapat.
Atau kita hanya suka dengan yang sependapat dengan kita? Bagaimana kita mahu membela atas dasar keadilan, jika kita tidak dapat berlaku adil terhadap sesama gender, semata-mata atas dasar perbezaan pendapat? Walau apa pun huraian Ustazah, pasti beliau mahukan apa yang beliau yakin itu yang baik untuk WANITA. Tidakkah niat baik beliau patut dihargai oleh wanita yang tidak sependapat? Apatah lagi di kalangan pembela WANITA!
Mungkin ini hikmahnya mengapa Allah secara spesifik memberi peringatan kepada WANITA (spesifik mengikut jantina) agar jangan sekumpulan wanita menyindir dan menghina satu kumpulan wanita yang lain, kerana mungkin yang disindir itu lebih baik daripada yang menyindir" (Q49:11)
Semoga Allah mengangkat martabat wanita di Malaysia dengan ISLAM, tiada yang selainnya.
Lelaki atau perempuan, semuanya perlu melangsaikan akauntabiliti masing-masing kepada Allah, Tuhan Pencipta, Tuhan lelaki dan Tuhan perempuan.
by: FB UHAJ.
No comments:
Post a Comment