Saturday 23 May 2015

WANITA HAIDH MEMBACA AL-QURAN

Ulama-ulama feqh berbeza pendapat tentang hukum seorang wanita haidh membaca al-Quran.
Dalil 1:
عَنْ عَائِشَةَ، قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَذْكُرُ اللَّهَ عَلَى كُلِّ أَحْيَانِهِ
'Aisyah radiallahu 'anha berkata: Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mengingati Allah dalam setiap keadaan. [Sahih Muslim, Kitab al-Haidhi, hadis no: 373]
Hadis ini menjadi hujah semua orang boleh membaca al-Quran kerana al-Quran termasuk zikir.
Dalil 2:
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقْرَإِ الْحَائِضُ وَلاَ الْجُنُبُ شَيْئًا مِنَ الْقُرْآنِ "
Ibn 'Umar radiallahu 'anhu meriwayatkan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Janganlah orang yang haidh dan junub membaca sedikit pun daripada al-Quran. [Sunan at-Tirmizi, Kitab at-Taharah, hadis no: 131].
Hadis ini dikatakan lemah kerana terdapat perawi bernama Ismail bin 'Iyash. Imam al-Bukhari berkata tentang Ismail bin 'Iyash: (يَرْوِي عَنْ أَهْلِ الْحِجَازِ وَأَهْلِ الْعِرَاقِ أَحَادِيثَ مَنَاكِيرَ) Beliau meriwayatkan daripada penduduk Hijaz dan 'Iraq hadis-hadis yang munkar.
Dalil 3:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلِمَةَ، عَنْ عَلِيٍّ، قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يُقْرِئُنَا الْقُرْآنَ عَلَى كُلِّ حَالٍ مَا لَمْ يَكُنْ جُنُبًا . قَالَ أَبُو عِيسَى حَدِيثُ عَلِيٍّ هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ .
'Abdullah bin Salamah meriwayatkan, 'Ali radiallahu 'anhu berkata: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam membacakan al-Quran kepada kami dalam segala keadaan kecuali junub. [Sunan at-Tirmizi, Kitab at-Taharah, hadis no: 146, hasan sahih]
Pendapat ulama:
Imam an-Nawawi menyebutkan di dalam Al-Majmu':
Haram membaca al-Quran bagi haidh dan junub. Ini pendapat mazhab Syafie dan majoriti ulama. Ini jua pendapat 'Umar al-Khattab, 'Ali, Jabir radiallahu 'anhum, Al-Hasan Al-Basri, Az-Zuhri, An-Nakhaie, Qatadah, Ahmad dan Ishaq.
Boleh membaca al-Quran bagi haidh dan junub: Ini pendapat Daud az-Zahiri. Ini juga pendapat Ibn 'Abbas radiallahu 'anhu, Sa'id bin al-Musayyib, Ibn al-Munzir.
Imam Malik memperincikan untuk junub. Hanya boleh baca sebagai doa perlindungan. Manakala untuk haidh, terdapat dua riwayat pendapat Imam Malik. Pertama: Wanita haidh boleh baca al-Quran. Kedua: Tidak boleh baca.
Hujah yang menyatakan haram bagi wanita haidh dan junub menggunakan dalil 2 dan 3. Mereka juga mengqiaskan haidh dengan junub.
Pendapat yang menyatakan yang junub dan haidh boleh membaca al-Quran berhujah dengan hadis 1. Mereka menolak hadis 2 dan 3 kerana mereka melihat hadis tersebut tidak sahih.
Shaikh Abdullah bin Abdul Aziz bin Baz membezakan wanita haidh dan janabah. Beliau menyatakan wanita haidh boleh membaca al-Quran, janabah tidak boleh.
Ini kerana:
1- Dalil melarang wanita haidh tidak sahih
2- Haidh dan janabah tidak sama. Janabah seseorang boleh memilih mandi wajib cepat atau tidak. Manakala haidh dan nifas tidak.
3- Qias haidh dan janabah tidak tepat kerana keadaan orang haidh dan janabah berbeza.
Teks fatwa Shaikh Bin Baz
http://www.binbaz.org.sa/mat/333

sumber: al-Kahfi

atau boleh lihat di link ini: AFN

No comments:

Post a Comment