Monday, 4 November 2013

FB : Dr Abu Anas Madani (Tuan Guru Dr Abdul Basit Abdul Rahman)

Muharram 1435H Tiba.

بسم الله الرحن الرحيم
Muharram tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan... 
Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

❓ Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?

Ada beberapa perkara yg agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram. 
Antaranya, hijrah Rasulullah saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

➡HIJRAH:
Hijrah Rasulullah saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram. 
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.

Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah saw. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

➡DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama’, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama’. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. 

Tiada dalam kitab2 hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

➡CATATAN AMALAN
Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw.

Hadith2 yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith2 sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :

✅1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".
Rasulullah saw bersabda, maksudnya : 
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba2Ku itu?'
Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

✅2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadith Sahih.-

✅3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

➡ BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?
Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu. 
Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan2 lain.
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama’ dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu). 
Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
Kesimpulan :
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ".
Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)
والله اعلم .

(AAM, Madinah 29 Zulhijjah 1434H)

No comments:

Post a Comment