Mengasihi Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam terzahir dalam pelbagai bentuk. Sudah tentu, yang tertinggi itu adalah pada mengamalkan Sunnah baginda, serta menjauhi apa yang baginda tidak suka.
Dalam suasana masyarakat banyak bergantung kepada orang tengah untuk memahami Sunnah, boleh terjadi secara sedar atau tidak sedar, kita terkeliru antara cinta kita kepada baginda sallallaahu alayhi wa sallam dan cinta kita kepada orang tengah itu.
Cinta yang keliru itu akan teruji, apabila terjadinya percanggahan antara keduanya.
Justeru, jika ada yang suka membaca buku saya, membaca blog saya, mengikuti ceramah saya, dan menjadi 'peminat' saya, andai diterangkan oleh sesiapa bahawa ada isi kandungan tulisan atau ucapan saya yang menyalahi Sunnah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, jangan teragak-agak untuk meninggalkan saya dan mengutamakan baginda.
Mungkin saya kelihatan jahil kerana kesalahan tersebut, lemah kerana kesilapan berkenaan, janganlah dipujuk-pujuk saya hingga saya berat hati untuk mengakui kesalahan dan kesilapan itu.
Saya sama seperti kita semua, kita faqir menuju Dia.
Semoga saya dipandang sebagai umat baginda sallallaahu alayhi wa sallam di Lautan Mahsyar yang tidak bertepi itu, ameen
dari: fb; UHAJ
No comments:
Post a Comment