Saturday, 5 October 2013

Pembentukan seseorang bermula dari rumah

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
[al-Furqan: 25: 74]
Ertinya: "Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, jadikanlah kami beroleh daripada isteri-isteri serta zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menjadi penyejuk mata (menenangkan hati), serta jadikanlah kami sebagai imam bagi orang-orang yang bertaqwa".

Sifat mulia yang Allah subhanahu wa ta'ala senaraikan dalam ayat di atas adalah sifat "عباد الرحمن": hamba-hamba bagi Tuhan yang Pengasih. Ia meliputi sifat-sifat mukmin secara individu; mukmin sebagai da'i, mukmin yang mentaati Allah dan mukmin yang mencegah dirinya dari melakukan sifat-sifat keji  dan perlakuan jenayah yang mencela Tuhan lagi mendatangkan mudarat kepada sesama manusia.

Sifat keutamaan hamba-hamba Allah adalah sifat dan peranannya sebagai ketua atau pemimpin keluarga. Bukan sahaja berusaha gigih untuk membentuk diri sebagai seorang mukmin yang sejati, tetapi tidak lupa untuk membawa keluarga ke gerbang kejayaan yang hakiki. Ini adalah sifat sebenar bagi orang yang berjaya, kerana mereka berjaya bukanlah daripada golongan yang berjaya sendirian. Orang yang benar-benar berjaya adalah mereka yang membawa orang lain untuk berjaya bersama-sama mereka. Dan orang yang paling utama untuk dibawa ke arah kejayaan adalah isteri dan anak-anak.

Asas dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia adalah melalui kerjasama dan kerukunan antara ibu bapa dan ahli keluarga/ anak-anak. Dalam usaha untuk membina sebuah keluarga yang berjaya dan bahagia tidak mudah, ia perlu pengorbanan dan usaha berterusan serta komitmen dan kesabaran. Islam sangat menggalakkan bahawa keluarga bahagia perlu disediakan dengan penerapan nilai-nilai Islam ke atas semua individu dalam keluarga. Dan keluarga yang kuat bukan sahaja menjadi bapa, ibu dan anak-anak yang baik, tetapi sebagai ketua keluarga hendaklah melaksanakan tanggungjawab terhadap hak anak-anak dengan memberi mereka pendidikan yang baik untuk menjadi ummah yang soleh, baik di dunia mahupun di akhirat.

Dalam surah at-Thur: 52; 21:
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاتَّبَعَتْهُمْ ذُرِّيَّتُهُم بِإِيمَانٍ أَلْحَقْنَا بِهِمْ ذُرِّيَّتَهُمْ  
Ertinya: "Dan orang-orang yang beriman, beserta anak cucu mereka yang mengikuti mereka dalam keimanan, Kami pertemu mereka dengan anak cucu mereka (di dalam syurga)...".

01 Dzul Hijjah 1434H

No comments:

Post a Comment