Sunday 7 January 2018

BERISTIGHFARLAH…

Oleh: Al-Fadhil Al-Ustaz Kamilin Jamilin
1. Isitighfar merupakan kalimah memohon “maghfirah” dari Allah, yang berasal dari “غفر”, yang bermaksud melindungi atau menutupi. 
Justeru perisai kepala dalam bahasa arab disebut sebagai “mighfar” (المِغْفَرْ) kerana ia melindungi serta menutupi bahagian utama tubuh. 
Maka istighfar digunakan sebagai lafaz permohonan kepada Allah supaya ditutupi dosa-dosa yang dilakukan melalui pengampunan-Nya serta tidak ditayangkan di akhirat kelak.
2. Bagaimana cara beristighfar?

Di dalam Quran Allah menyebut beberapa lafaz istighfar sebagai mereka yang memohon pengampunannya, antaranya:
a) “ASTAGHFIRULLAH (أَسْتَغْفِرُ الله)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada Allah”.
Firman Allah:
“وَاسْتَغْفِرُوا الله” [al-Baqarah: 199].
“فَاسْتَغْفَرُوا الله” [al-Nisa: 64].
“وَاسْتَغْفِرِ الله” [al-Baqarah: 106].
b) “ASTAGHFIRU RABBI (أَسْتَغْفِرُ رَبِّي)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada tuhanku”.
Firman Allah:
“أَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُم” [Hud: 3].
“اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُم” [Hud: 52, 90, Nuh: 10].
“وَيَسْتَغْفِرُوا رَبَّهُم” [al-Kahfi: 55].
c) “GHUFRANAK (غُفْرَانَك)”, yang bermaksud: “Pengampunan-Mu (wahai Allah)”.
Firman Allah:
“غُفۡرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيۡكَ ٱلۡمَصِيرُ” [al-Baqarah: 285].
d) “IGHFIR (اِغْفِرْ)”, yang bermaksud: “Ampunkanlah (daku)”.
Firman Allah:
“وَقُل رَّبِّ ٱغۡفِرۡ وَٱرۡحَمۡ وَأَنتَ خَيۡرُ ٱلرَّٲحِمِينَ” [al-Mu’kminun: 118].
Di dalam hadis pula, Nabi SAW mengajarkan kita beberapa lafaz istighfar, antaranya:
a) Penghulu segala istighfar. Hadis Syaddad bin Aws RA riwayat al-Bukhariy:
اَللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّيْ ، لَا إِلٰـهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِيْ وَأَنَا عَبْدُكَ ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ ، أَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمتِكَ عَلَيَّ ، وَأَبُوْءُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْ لِيْ ، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أَنْتَ
Mafhumnya: “Ya Allâh, Engkau adalah Rabbku, tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku menetapi perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku, kerana tiada yang dapat mengampuni dosa selain Engkau”.

Sabda baginda: “Barangsiapa yang mengucapkannya di waktu siang dengan penuh keyakinan, lalu meninggal pada hari itu sebelum waktu petang, maka ia termasuk penghuni syurga. Dan barangsiapa yang membacanya di waktu malam dengan penuh keyakinan, lalu meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka ia termasuk penghuni syurga”.
b) “ASTAGHFIRULLAH (أَسْتَغْفِرُ الله)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada Allah”.
Dalam riwayat al-Bukhariy disebutkan Nabi SAW beristighfar kepada Allah sebanyak 70 kali, manakala dalam riwayat Muslim pula sebanyak 100 kali sehari.
c) “ASTAGHFIRUKA WA ATUBU ILAYK (أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوْبُ إِلَيْكَ)”, yang bermaksud: “Aku beristighfar kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu”.
Dalam hadis riwayat Muslim, ‘Aisyah RA mengkhabarkan bahawa Nabi SAW sebelum wafat baginda beberapa ketika, banyak mengucapkan lafaz doa istighfar ini.
Setiap kita pasti melakukan kesilapan atau kesalahan baik kita sedari mahupun tidak, baik yang disengajakan mahupun tidak...

Maka beristighfarlah pada ruang masa yang mampu selagi mampu..

No comments:

Post a Comment