Sunday 7 January 2018

Dialog Ayah dan Anak dalam al-Quran

Oleh: Al-Fadhil Dr. Ahmad Sanusi
1. Adakalanya dialog antara ayah dan anak di dalam al-Quran menggambarkan keakraban hubungan mereka. Keakraban ini dilihat melalui kesudian mereka menceritakan perkara peribadi. Dalam konteks ini, mimpi dijadikan medium perantara kerana ia adalah perkara sulit yg tidak diketahui orang melainkan empunya mimpi yg berkongsi tentangnya.
Dalam kisah Nabi Yusuf, Allah menggambarkan betapa akrabnya hubungan beliau dengan ayahnya Ya’qub sehingga Yusuf sudi untuk menceritakan perkara peribadi dan meminta pandangan ayah beliau tentang mimpi yang di alaminya. 

يَا أَبَتِ إِنِّي رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِي سَاجِدِينَ

Manakala dalam kisah Nabi Ibrahim, si ayah pula yang sudi berkongsi mimpi beliau kepada anaknya Ismail. Kedua kisah ini menggambarkan keakraban hubungan ayah dan anak.

قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَى فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَى قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

2. Adakalanya dialog antara ayah dan anak di dalam al-Quran menjelaskan peranan dakwah yang perlu dimainkan oleh ayah dan anak. Dalam kisah Nabi Ibrahim, beliau sebagai anak berperanan sebagai agen kebaikan. Beliau bertanya, meluahkan pandangan serta memberikan nasihat berhubung amalan menyembah berhala yg diamalkan oleh kaum ayahnya (atau bapa sedaranya). 

إِذْ قَالَ لِأَبِيهِ يَا أَبَتِ لِمَ تَعْبُدُ مَا لَا يَسْمَعُ وَلَا يُبْصِرُ وَلَا يُغْنِي عَنْكَ شَيْئًا

Manakala dalam kisah Nabi Nuh pula, si ayah digambarkan berfungsi sebagai pendidik, yang menasihatkan anaknya supaya kembali kepada Allah. Kedua kisah ini menggambarkan peranan bersama, anak dan ayah dalam perkara dakwah dan tarbiyyah.

وَنَادَى نُوحٌ ابْنَهُ وَكَانَ فِي مَعْزِلٍ يَا بُنَيَّ ارْكَبْ مَعَنَا وَلَا تَكُنْ مَعَ الْكَافِرِينَ

3. Dalam dialog lelaki Madyan (bapa mertua Nabi Musa) dengan anak perempuannya pula, al-Quran menggambarkan betapa anak juga memainkan peranan penting dalam urusan domestic kekeluargaan. Yang menariknya di sini, sekiranya anak lelaki yg biasa ditampilkan sebagai pembantu urusan bapa mereka, dalam kes ini Allah menunjukkan bahawa anak perempuan juga turut berperanan dalam membina keluarga.
Melalui dialog anak perempuan inilah, al-Quran merekodkan bahawa ciri-ciri pekerja yg terbaik adalah mereka yang gagah dan dipercayai. Menurut Ibn Abi Hatim dan al-Tabari, anak perempuan ini dikurniakan ketajaman fikiran sehingga mampu meneliti karakter Nabi Musa yang mempunyai sifat seorang pekerja yang baik. 

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

4. Sekalipun Maryam bukanlah anak kandung Nabi Zakaria, peranan Zakaria sebagai penjaga (buat Maryam) memperlihatkan kedudukan Nabi Zakaria seperti bapa kepada Maryam. Dialog antara Maryam dan Nabi Zakaria memberikan kita gambaran bahawa betapa si ayah perlu memantau anak mereka. Setiap kali Nabi Zakaria berjumpa Maryam, beliau akan dapati kejanggalan berlaku. Menurut Ibn Kathir, Maryam di dapati memiliki buah-buahan pada musim yg berlawanan iaitu sekiranya waktu itu musim panas, Maryam di dapati memiliki buah-buahan musim sejuk, begitulah sebaliknya. Ada riwayat pula menyatakan Maryam memiliki buku atau sumber ilmu yg tidak diketahui dari mana datangnya.
Nabi Zakari berasa hairan lalu bertanya “dari mana datangnya semua ini wahai Maryam?” Sebagai seorang ayah, Nabi Zakaria tidak terus menghukum. Beliau memantau dan bertanya dahulu sebelum bertindak. Jelas kisah ini menunjukkan peranan ayah dalam memantau aktiviti anak mereka.

(كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِنْدَهَا رِزْقًا قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّى لَكِ هَذَا قَالَتْ هُوَ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَنْ يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ)

5. Manakala dialog Luqman dengan anaknya menyimpulkan peringkat (stages) pendidikan yang perlu ditekankan oleh si ayah kepada anaknya. Pada mulanya Luqman memulakan nasihat dari aspek aqidah dahulu (يَا بُنَيَّ لَا تُشْرِكْ بِاللَّهِ). Kemudian beliau menerangkan bahawa perlunya didikan dari aspek ibadah (يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ). Daripada aqidah yg benar serta ibada yang sahih ini akan melahirkan insan yang berakhlak mulia. Luqman lalu menghuraikan keperluan berperibadi tinggi buat seorang Muslim (وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ)
Benar, perbualan ayah dan anak di dalam al-Quran ini menggambarkan betapa pentingnya kedudukan seorang ayah sebagai watak utama dalam pendidikan anak.
Muhasabah diri.
-sanusi.

No comments:

Post a Comment