Sunday 7 January 2018

Rasulullah dan Penjagaan Penampilan

Oleh: Al-Fadhil Dr. Ahmad Sanusi
1. Meneliti kitab Shamail Muhammadiyyah (perbincangan berhubung aspek fizikal dan perilaku Rasulullah), al-Imam al-Tirmizi merekodkan beberapa sunnah Rasulullah dalam menjaga penampilan diri. Terdapat beberapa pengajaran yang boleh diambil. Antaranya:
2. Dalam menjaga penampilan diri, Baginda turut menekankan aspek kesihatan tubuh. Ini difahami melalui hadith celak dimana Baginda menasihatkan bahawa:
اكْتَحِلُوا بِالإِثْمِدِ فَإِنَّهُ يَجْلُو البَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ
“Pakailah celak ithmid, sesungguhnya ia (membantu) mencerahkan penglihatan dan menumbuhkan bulu mata.” Hadith ini seolah memberikan kita gambaran bahawa dalam menjaga penampilan diri, Baginda turut melihat dari aspek kesihatan. Jangan kerana terlalu ingin cantik, kita mengabaikan kesihatan. Jangan kerana ingin kelihatan kurus, kita tidak makan sehingga mengganggu kekuatan tubuh.
3. Rasulullah juga mendidik kita supaya tidak terlalu obses, iaitu berlebih-lebih dalam perihal menjaga penampilan. Ini difahami melalui hadith bersikat. Dalam perihal ini, Abdullah ibn Mughaffal meriwayatkan bahawa Rasulullah melarang sifat berlebih-lebihan dalam menjaga penampilan rambut.
Beliau menyebut:
نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ التَّرَجُّلِ إِلاَّ غِبًّا

Rasulullah melarang daripada (berlebih-lebih dalam) bersikat melainkan ghibba (diselang-seli). Begitu juga dalam sebuah hadith lain, Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah melarang al-Irfah: 
(كَانَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَانَا عَنِ الْإِرْفَاهِ).
Menurut al-Tayyibi, al-irfah membawa maksud berlebih-lebihan dalam bersikat dan menggunakan minyak rambut (Sharh al-Tayyibi, 1997). Abu al-Fadl al-Qurtubi menjelaskan bahawa perbuatan berlebih-lebihan dalam bersikat dan meminyak rambut ini adalah perbuatan seakan mirip perlakuan perempuan yang terlalu suka berhias dlm menjaga penampilan diri (Ikmal al-Mu’lim, 1998). Maksudnya janganlah sampai kita setiap lima minit pergi ke tandas untuk melihat kedudukan rambut kita, apakah masih tegak terpacak dan berkilat.
4. Baginda SAW turut mengenakan pakaian yg baik dan cantik. Dalam hadith yang sahih, Rasulullah dikatakan menggemari al-Hibarah, iaitu sejenis pakaian dari kain lembut yang diperbuat daripada Yaman. 
كَانَ أَحَبُّ الثِّيَابِ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يَلْبَسَهَا الحِبَرَةَ
Al-Qurtubi menjelaskan bahawa pakaian ini dinamakan al-hibarah kerana sifatnya yang berbentuk perhiasan (al-tazyin). Menurut al-Daudi, kain tersebut berwarna hijau. Manakala al-Munawi pula menjelaskan bahawa Baginda menggemari pakaian ini kerana sifatnya yang cantik dan selesa dengan tubuh Baginda. Daripada huraian tersebut jelas bahawa Baginda menjaga penampilan diri dengan memilih pakaian yang kelihatan baik serta selesa untuk dipakai, tidak menjejaskan kesihatan serta tidak terlalu obsess.
-sanusi.

No comments:

Post a Comment