Sunday 7 January 2018

Rasulullah & Mengenali Sahabat

Oleh: al-fadhil Dr. Ahmad Sanusi
1. Dalam interaksi Rasulullah bersama sahabat, kita dapati bahawa Rasulullah adalah seorang yang cakna tentang kehidupan harian sahabat Baginda. Dalam sebuah hadith yang masyhur, Rasulullah melihat Abu Umayr kelihatan sedih. Baginda lantas bertanya tentang burung peliharaan Abu Umayr. Menurut Anas, Abu Umayr memiliki burung dan sering bermain dengan binatang peliharaannya itu. Melihatkan kesedihan Abu Umayr, Nabi bertanya akan perkara itu kerana Baginda memahami perihal sahabat Baginda. Benarlah telahan Nabi bahawa burung peliharan Abu Umayr telah mati sehingga menyebabkn beliau bersedih. Lihat caknanya Nabi tentang sahabat Baginda. 
يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ
2. Ketika pulang dari satu peperangan, Rasulullah mendapati Jabir bin Abdullah berada di barisan paling belakang dalam kumpulan permusafiran tersebut. Rasulullah lantas mendekati Jabir dan bertanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau lambat wahai Jabir”? Jabir lalu menjawab bahawa untanya telah penat dan sakit sehingga menyebabkan pergerakkannya menjadi lambat. Rasulullah sendiri turun dari tunggangannya dan menggerakkan unta Jabir tersebut. Lihatlah peri pekerti Nabi yang mengambil tahu perihal sahabat, bahkan turun membantu mereka.
قَالَ: «مَا شَأْنُكَ؟» قُلْتُ: أَبْطَأَ عَلَيَّ جَمَلِي وَأَعْيَا، فَتَخَلَّفْتُ، فَنَزَلَ يَحْجُنُهُ بِمِحْجَنِهِ
3. Ketika mereka berdua berjalan, Rasulullah mengambil kesempatan ini bertanya tentang kehidupan Jabir. Baginda bertanya apakah engkau telah berkahwin wahai Jabir? Jabir menjawab: Sudah. Rasulullah bertanya lagi: Apakah kamu berkahwin dengan anak dara atau janda? Jabir menjawab: Janda. Rasulullah bertanya mengapa tidak engkau berkahwin dengan anak dara? Jabir menjawab bahawa ayahnya Abdullah telah syahid dan beliau mempunyai adik-adik perempuan yg ramai. Jabir berharap agar isterinya boleh membantu beliau membantu menguruskan adik-adik beliau sekali.
قُلْتُ: إِنَّ لِي أَخَوَاتٍ، فَأَحْبَبْتُ أَنْ أَتَزَوَّجَ امْرَأَةً تَجْمَعُهُنَّ، وَتَمْشُطُهُنَّ، وَتَقُومُ عَلَيْهِنَّ
4. Di akhir hadith yang panjang ini, Rasulullah menawarkan dirinya untuk membeli unta Jabir tersebut. Apabila Jabir membawa untanya untuk diserahkan kepada Nabi, Rasulullah membayar harga unta itu kepada Jabir, malah menyerahkan kembali unta tersebut kepada Jabir. Tindakan Baginda ini adalah tidak lain tidak bukan bagi membantu Jabir yang kelihatan baru mendirikan rumah tangga dan lebih memerlukan sokong dalam memulakan kehidupannya (al-Qastalani, Irshad al-Sari, 1323H). Perbuatan Baginda ini menggambarkan bahawa Baginda bukan sahaja ambil tahu tentang kehidupan sahabat Baginda, bahkan Baginda membantu mereka dalam kehidupan harian mereka. 
قَالَ: خُذْ جَمَلَكَ وَلَكَ ثَمَنُهُ
5. Dalam sebuah hadith yang lain pula Malik ibn al-Huwayrith dikatakan telah datang ke Madinah untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam bersama dengan Nabi. Apabila berada dalam tempoh yang lama bersama dengan Nabi, Rasulullah seakan perasan yang Malik sudah merindui keluarganya di kampung. Rasulullah lalu mengarahkan Malik supaya pulang dan mendidik kaumnya tentang Islam. Malik lalu berkata: Rasulullah adalah seorang yang penyayang. Baginda seolah memahami kehendak kami. Begitulah tingginya peribadi Nabi dalam mengambil berat, memahami serta membantu para sahabatnya.
وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- رَحِيمًا رَفِيقًا، فَظَنَّ أَنَّا قَدِ اشْتَقْنَا أَهْلَنَا، فَسَأَلَنَا عَمَّنْ تَرَكْنَا مِنْ أَهْلِنَا، فَأَخْبَرْنَاهُ فَقَالَ :« ارْجِعُوا إِلَى أَهْلِيكُمْ

No comments:

Post a Comment